TIADA ISU PEMENANG PINGAT SUKAN KOMANWEL SERTAI SUKMA – KP MSN
TIADA ISU PEMENANG PINGAT SUKAN KOMANWEL SERTAI SUKMA – KP MSN
September 15, 2022 6:34 am
KUALA LUMPUR, 15 SEPTEMBER 2022 – Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail tegaskan tiada sebarang isu di sebalik penyertaan pemenang pingat di temasya sukan berprestij seperti Sukan Komanwel dalam Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 kali ini.
Mohamad Aniq Kasdan, atlet angkat berat negara dan pemain badminton perseorangan lelaki, Ng Tze Yong merupakan antara nama besar yang bakal bertanding pada Sukma ini yang akan membuka tiranya secara rasmi pada 17 September 2022.
“Kami cuba memberi peluang kepada semua atlet untuk bersaing di Sukma. Ini asas Sukma. Atlet yang berjaya pada Sukan Komanwel bermula dari negeri dan belum pernah mewakili negeri mereka di Sukma.
“Jadi, ini adalah peluang mereka untuk mewakili negeri dan menjadi kebanggaan kepada negeri mereka,” jelas beliau.
Ahmad Shapawi turut akui penyertaan atlet tersebut boleh dijadikan sebagai kayu pengukur kepada atlet sebaya mereka yang bertanding di temasya sukan tempatan itu.
Sementara itu, tiada lagi acara digugurkan pada edisi akan datang disebabkan tidak cukup penyertaan menurut jaminan daripada Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk M Jana Santhiran, selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Sukma tahun ini.
“Saya rasa kali (tahun) ini sahaja kita hadapi masalah sebegini. Pada masa akan datang, KBS dan MSN akan pastikan semua sukan mempunyai penyertaan mencukupi. Ini disebabkan Covid-19 dan sebagainya. Perlu adil kepada negeri yang tidak dapat mempersiapkan atlet mereka,” ujarnya.
Terdahulu, beberapa acara olahraga dan terjun berdepan isu pengguguran berikutan tidak cukup penyertaan minimum daripada kontinjen negeri yang bertanding memaksa pihak penganjur mengurangkan syarat minimum lapan negeri kepada enam bagi edisi kali ini namun penyertaan masih tidak mencukupi untuk meneruskan acara berkenaan.