lavinesh

MCS 2022 LABUHKAN TIRAI DENGAN AKSI MEMUKAU

MCS 2022 LABUHKAN TIRAI DENGAN AKSI MEMUKAU

September 19, 2022 3:33 am

SEPANG, 19 September 2022 – Cuaca hujan pada hari perlumbaan terakhir bagi Siri Kejuaraan Malaysia (MCS) telah memberikan persaingan yang lebih mendebarkan buat para peminat sukan permotoran apabila pelumba-pelumba MCS menghadapi kesukaran beraksi di atas trek basah tersebut.

Kesilapan mudah oleh Jonathan Xie pada sesi kelayakkan hari Sabtu lalu telah memberikan kelebihan kepada Mohd Yuszaidi dari Maxtune Garage untuk merangkul gelaran juara keseluruhan bagi kategori Touring Production (TP) dengan 91 mata. Walaupun bergelut dalam penampilan pertamanya dalam MCS musim ini, Yuszaidi berjaya menamatkan 54 pusingan di tempat kedua di belakang Ahmad Akid dan gandingan Indonesia, Fitra Eri di tempat pertama. Pelumba R Engineering HMRT, H. M Tauhid Anwar dan Lai Wee Sing pula menduduki tempat ketiga. Bagi kedudukan keseluruhan kejuaraan TP, mereka berdua menduduki tempat kedua dengan 77 mata dan Jonathan Xie mengumpul 66 mata di tempat ketiga.

Mitchell Cheah dan pasanganya, Brendan Paul Anthony dari HIREV DREAM CHASER muncul pemenang keseluruhan kategori Malaysian Touring Car (MTC) dengan 105 mata selepas menamatkan perlumbaan sejauh 300km di tempat kedua. Ia adalah hari yang luar biasa untuk kedua-duanya menebus kekecewaan musim-musim sebelum ini. Diikuti rapat di tempat kedua, Mark Darwin dan Mah Siew Chean, Tedco Racing dengan 97 mata dan ketiga, pemandu Wing Hin Motorsports, Wong Yew Choong dan Ng Khai Ee dengan 70 mata.

Sementara itu dalam kategori Stock Production 1 (SP1), prestasi memberangsangkan daripada pemandu termuda, Putera Adam dari R Engineering HMRT menjadikan beliau merangkul gelaran juara dengan 102 mata. Musim ini, pemandu berusia 16 tahun itu telah beralih ke SP1 daripada Stock Production 2 (SP2) dan sejak itu, beliau telah menampilkan potensi sepenuhnya dalam MCS. Adam menamatkan perlumbaan di tempat ketiga semalam. Naib juara keseluruhan adalah Al Farouk dan Baron Sim dari 23 Motors dengan 68 mata melintasi garisan penamat sebagai pemenang, manakala pemandu Jepun, Makotoa Fujiwara dan Masaya Kono di tempat kedua. Gandingan daripada Rworks membuat penampilan pertama mereka di akhir musim. Naib juara kedua untuk kejuaraan keseluruhan disandang oleh Ken Urata dari Rworks dengan 64 mata.

Kedudukan keseluruhan kejuaraan dalam kategori SP2 pula diketuai oleh Ian Wong dan Keiffli Othman dari DW Motorsports dengan 71 mata. Aiyub Alamghir menduduki tempat kedua dengan 62 mata berkongsi kedudukan bersama Imran Wafi dan Najiy Ayyad dari DNT Tune yang juga mengumpul 62 mata. Pemenang bagi SP2 dalam perlumbaan 300KM, Hafiz Bachol dan Mohanjit Singh, manakala Shazull Hisham dan Mohd Syahrizal dari Empire M Racing menduduki tempat kedua. Imran Wafi dan Najiy Ayyad dengan Honda Jazz mereka menamatkan perlumbaan tersebut di tempat ketiga. 

MCS 2022 dianjurkan oleh Litar Antarabangsa Sepang (SIC), disokong oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS), dan diluluskan oleh Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM). Rakan kongsi rasmi ialah Yokohama, sebagai pengedar tayar rasmi dan FireFighter sebagai alat pemadam api rasmi dengan lebih 1,000 alat pemadam api tersebar di trek sepanjang 5.543km.

#MySukanTV #BeritaSukan #SIC #TeamKBS #MAM #Yokohama #MCS2022 #TP #SP1 #SP2 #AkhirMusim #PerlumbaanTerakhir

Sumber: mySukan TV

Sumber Gambar: Sepang International Circuit