KUALA LUMPUR, 20 September 2022 – Undang-undang yang tertera di dalam perlembagaan Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) jelas menyatakan bahawa jika terdapat mana-mana atlet ahli gabungan atau persatuan negeri yang didapat positif dalam ujian doping, maka atlet tersebut dan ahli lain yang berada dalam ahli gabungan atau persatuan negeri akan digantung daripada menyertai sebarang kejohanan termasuk temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XX MSN 2022.
Untuk pengetahuan, baru-baru ini Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) telah melaporkan bahawa terdapat tiga atlet angkat berat dari dua negeri yang didapati positif dalam ujian doping.
Oleh itu, menurut undang-undang tersebut, maka kesemua atlet dari kedua-dua negeri tersebut dilarang mengambil bahagian dalam acara angkat berat pada temasya SUKMA edisi kali ini.
Bagi menegaskan pendirian badan induk mengenai isu doping, PABM telah menarikkan diri daripada mengendalikan acara tersebut pada SUKMA ini kerana Majlis Sukan Negara (MSN) tidak menyambut baik terhadap undang-undangan yang telah ditetapkan.
Datuk Ayub Rahmat, Presiden PABM berkata, “Saya ingin tegaskan pendirian PABM dalam isu doping ini adalah jelas apabila mesyuarat minggu lalu, semua atlet yang gagal ujian akan menyebabkan penglibatan kontinjen negeri terbabit dalam sukan angkat berat digantung.”
“Kita tidak mahu pada akhirnya PABM juga yang akhirnya menjadi mangsa dipersalahkan. Pada mesyuarat bersama pengarah kejohanan, jawatankuasa tertinggi tidak melihat PABM sebagai rakan kongsi yang baik dari segi teknikal malah peranan PABM juga tidak diperlukan.”
“Ini adalah pilihan terbaik dan PABM tidak lagi terlibat dalam SUKMA 2022. Ia juga hak MSN sendiri untuk meneruskannya. MSN yang membuat keputusan. PABM selaku badan induk sukan ini bertanggungjawab dan daripada pihak kita telah selesai,” kata beliau.
Terdahulu, Jawatankuasa Khas Teknikal SUKMA XX MSN 2022 telah memutuskan agar permulaan sukan angkat berat ditunda sehari kepada hari ini berbanding jadual asal yang sepatutnya diadakan semalam.