SEPANG, 23 September 2022 – Peminat sukan go-kart tanah air pastinya teruja dengan pengumuman Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mengenai operator baharu Litar Go-Kart Antarabangsa Sepang (SIKC) iaitu Autoplay Group (Autoplay). Autoplay bakal melaksanakan penambahbaikan dan menyediakan kemudahan baharu serta pemasangan lampu di litar tersebut.
Azhan Shafriman Hani, Ketua Pegawai Eksekutif SIC berkata, “Kemudahan seperti granstan, tempat duduk dan pejabat perlukan penambahbaikan jadi kami harap Autoplay dapat melaksanakannya memandangkan mereka telah komited untuk melabur.”
“Saya harap operator baharu ini menaikkan SIKC ke satu tahap lagi dan mereka boleh menjenamakan litar ini sebagai tempat berkumpul atau gaya hidup yang boleh menarik lebih ramai orang datang ke sini dan bermain go-kart,” tambah beliau.
Selain menyediakan dan menyelenggarakan SIKC, Autoplay juga menyediakan perkhidmatan kepada masyarakat yang berminat untuk mempelajari sukan ini. Azhan Shafriman menjelaskan bahawa dengan perkhidmatan tersebut oleh operator baharu ini, SIC bersama Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) akan berpeluang mencungkil bakat baharu dalam sukan go-kart yang bakal bertanding dalam kejohanan kebangsaan.
“Memandu go-kart bukannya murah dan ada ibu bapa tidak mahu mengeluarkan belanja. Namun, pihak seperti Autoplay akan mendapatkan pakej penajaan dan ibu bapa boleh datang untuk mencuba,” kata Azhan Shafriman.