FIM MINIGP CHAMPIONSHIP SERIES 2022: QABIL IRFAN GEGAR LITAR LANGKAWI
FIM MINIGP CHAMPIONSHIP SERIES 2022: QABIL IRFAN GEGAR LITAR LANGKAWI
September 29, 2022 8:11 am
LANGKAWI, 29 September 2022 – Qabil Irfan, penunggang remaja dari Terengganu unggul dengan mengesahkan slotnya untuk mewakili negara pada kejuaraan World Finals yang dijadual berlangsung pada November ini di Valencia, Sepanyol, setelah muncul juara pada Pusingan 4 FIM MiniGP Championship Series 2022 yang berlangsung di Litar Go Kart MORAC Adventure Park, Langkawi pada hujung minggu lepas.
Selepas mencatat masa terpantas pada sesi kelayakan dengan catatan masa 1 minit 11.675 saat mengelilingi litar sepanjang 1,230 meter untuk sekali lagi dianugerahkan Pirelli Pole Position Award, penunggang berusia 10 tahun ini memenangi kedua-dua perlumbaan untuk mengutip 50 mata dan membawa kepada jumlah keseluruhan pungutan mata beliau kepada 186 mata.
Tempat kedua keseluruhan kini dihuni oleh Adi Putra dengan 154 mata dan disusuli oleh Akif Abdullah di tempat ketiga keseluruhan dengan 129 mata. Adi dan Akif masing-masing terpaksa akur dengan penguasaan Qabil di Langkawi serta terpaksa berpuas hati dikedudukan kedua dan ketiga pada kedua-dua perlumbaan tersebut.
Dengan hanya berbaki satu pusingan dan 50 mata maksima, Qabil, juara SIC Ohvale Championship musim lepas, sudah memastikan sekurang-kurangnya tempat kedua keseluruhan walaupun lebih besar kemungkinan akan ditabalkan sebagai juara keseluruhan berdasarkan kepada prestasi yang dipamerkan beliau sepanjang kejuaraan ini.
Malaysia diberikan dua slot pada saingan FIM MiniGP World Finals di Valencia, yang dianjurkan oleh promoter kejuaraan MotoGP Dunia, Dorna yang merupakan pentas tertinggi untuk saingan kumpulan umur remaja ini sebagai sebahagian daripada program “Road to MotoGP”.
Saingan kelima dan pusingan akhir saingan FIM MiniGP Malaysia Championship Series 2022 akan diadakan di Litar Go-Kart Sepang pada 15 dan 16 Oktober ini.