lavinesh
PUCHONG, 3 Oktober 2022 – Setelah Liga E-sukan Malaysia atau Malaysia Esports League 2022 (MEL22) Peringkat Negeri melabuhkan tirainya pada bulan lepas, Esports Integrated (ESI) telah mengumumkan pembukaan MEL22 Peringkat Kebangsaan pada majlis sidang media yang berlangsung di ESI Hub, Spacerubix semalam.
Liga Kebangsaan MEL22 akan berlangsung sehingga 2 November ini dan dijalankan secara fizikal di ESI Hub yang bertempat di Spacerubix, Puchong. Selepas tiga minggu persaingan sengit di peringkat negeri, pasukan yang berjaya mara ke peringkat seterusnya akan mewakili negeri-negeri mereka di Liga Kebangsaan.
Dengan hadiah terkumpul sebanyak RM299,500, tahun ini MEL22 menambah 2 tajuk permainan baharu dan 3 kategori baharu, termasuk liga paralimpik khusus untuk orang kelainan upaya (OKU). Susulan daripada kejayaan Malaysia Esports League 2021 (MEL21), MEL22 mensasarkan untuk menyedia platform yang lebih komprehensif dan inklusif untuk pemain sukan elektronik akar umbi tempatan menonjolkan bakat seterusnya membina kerjaya profesional dalam industri sukan elektronik.
Tahun ini, MEL dibahagikan kepada 3 siri iaitu Siri MEL22 Regular, Siri Terbuka MEL22 dan Para MEL22. Siri MEL22 Regular yang terkandung di dalamnya pecahan Liga Negeri dan Liga Kebangsaan yang membariskan 3 judul permainan – Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), PlayerUnknown’s Battleground Mobile (PUBGM) dan Garena Free Fire (FF). Manakala Siri Terbuka MEL22 pula dipecahkan kepada 3 judul permainan – Dota 2, FIFA23 dan Valorant. Para MEL22 mempertaruhkan hanya 1 judul permainan iaitu MLBB.
Untuk pengetahuan, dalam Siri MEL22 Regular, para pemain sukan elektronik akar umbi akan bertanding di Liga Negeri masing-masing bagi merebut tempat untuk mewakili negeri mereka di Liga Kebangsaan. Dengan kerjasama Moonton, Tencent dan Garena, pemenang di playoff kebangsaan akan mara ke kejohanan sukan elektronik profesional anjuran ESI, iaitu Kejohanan E-sukan Malaysia 2022/2023 atau Malaysia Esports Championship (MEC) 2022/2023 dan kemudiannya berpeluang untuk mempertaruhkan bakat di sirkit profesional di bawah judul permainan seperti MLBB Pro League Malaysia (MPL), PUBGM National Championship (PMNC) dan FF Malaysia/Cambodia/Philippines Majors (FF MCPS).
Siri Terbuka MEL22 akan menyusul sebaik Liga Kebangsaan tamat iaitu bermula pada 9 hingga 30 November dan terbuka kepada semua pemain dari pelbagai peringkat (amatur, separa profesional dan profesional). Para MEL22 pula adalah kesinambungan kejohanan anjuran ESI pada tahun lalu yang memberi peluang kepada peminat sukan elektronik OKU untuk menyertai kejohanan MLBB. Kedua-dua siri ini juga akan diadakan secara fizikal di ESI Hub.
YB Senator Dato’ Sri Ti Lian Ker, Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, “Untuk membina komuniti sukan elektronik profesional yang lebih besar dan lebih kukuh di negara ini, kita mesti mempunyai asas yang kukuh di peringkat akar umbi. Salah satu daripada kaedah yang digariskan dalam pelan strategik kami adalah untuk mewujudkan platform di mana bakat akar umbi boleh dicungkil dan diiktiraf, kerana itulah kami mewujudkan Malaysia Esports League yang kini berjalan untuk tahun kedua. MEL adalah salah satu platform utama untuk peminat sukan elektronik Malaysia bersaing tanpa mengira jantina, etnik dan keupayaan fizikal. Melalui MEL, KBS berpeluang mengaktifkan komuniti akar umbi sukan elektronik tempatan di kesemua 13 negeri dan 3 wilayah persekutuan. Wawasan daripada pengaktifan pertandingan ini adalah penting untuk memastikan dasar strategik oleh KBS dilaksanakan secara langsung dan lebih inklusif serta merangkumi kepelbagaian.”
Fadzli Rahim, Naib Presiden Operasi dan Pertumbuhan, ESI berkata, “Jumlah penyertaan MEL22 kekal tinggi pada tahun ini, terutamanya dengan penambahan kategori daripada 4 kepada 7 kategori tahun ini. Dengan lebih 50,000 peserta berdaftar di dalam pengkalan data, MEL22 adalah kejohanan sukan elektronik akar umbi yang terbesar dan inklusif yang pernah dianjurkan kami sehingga kini. Penting untuk saya akui bahawa MEL22 tidak akan berlaku tanpa sokongan berterusan daripada 16 Persatuan Sukan Elektronik Negeri dan Wilayah Persekutuan, penerbit permainan seperti Moonton, Garena dan Tencent Games, serta jenama dan media seperti Nescafe, eGG Network dan Rakita 107.9.”
#mySukanTV #BeritaSukan #ESI #EsportsIntegrated #MEL22 #TeamKBS #ESIHub #MLBB #PUBGM #FF #Dota2 #FIFA23 #Valorant #MPL #PMNC #FFMCPS
Sumber: mySukan TV
Sumber Gambar: Esports Integrated