MARI MERIAHKAN SAMBUTAN HARI SUKAN NEGARA 2022 PADA SABTU INI
MARI MERIAHKAN SAMBUTAN HARI SUKAN NEGARA 2022 PADA SABTU INI
October 6, 2022 7:55 am
KUALA LUMPUR, 6 Oktober 2022 – Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) akan diadakan pada 8 Oktober 2022 di Dataran Istana Kehakiman Putrajaya dan akan disempurnakan oleh Perdana Menteri YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob. Terdapat pelbagai program dan aktiviti yang telah dirancang bagi penganjuran HSN merangkumi peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.
Pada hari tersebut juga akan dianjurkan pelbagai program dan aktiviti oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Sekretariat Industri Sukan (SIS) dan sebagainya. Antara pengisian program dan aktiviti ialah Program Ikonik Fun Ride (10km), Fun Run (5km) & Fun Walk (3km), 1000 Liga Kebangsaan, Kejohanan Esports HSN 2022, Kejohanan Futsal 24 Jam dan pelbagai lagi.
Tujuan Hari Sukan Negara adalah untuk merealisasikan hasrat dan inspirasi membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan bersukan seterusnya mewujudkan masyarakat yang cergas dan aktif. Malah untuk memupuk dan menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum serta memperkukuhkan ekonomi negara menerusi pembangunan dan pemerkasaan industri sukan.
HSN2022 juga bertujuan meningkatkan pengetahuan dan ilmu mengenai sukan dalam kalangan masyarakat, dan memberi pengiktirafan kepada rakyat Malaysia yang terlibat di dalam aktiviti membangunkan sukan terutamanya di peringkat akar umbi.
Sila layari portal rasmi Hari Sukan Negara iaitu www.harisukannegara.my atau follow media sosial rasmi KBS iaitu @KBSMalaysia dan JBSN iaitu @JBSNegara.