BUKIT JALIL, 7 Oktober 2022 – Tiga Memorandum Persefahaman kerjasama perniagaan yang melibatkan nilai jutaan ringgit ditandatangani bersempena dengan Ekspo Industri Sukan Kuala Lumpur 2022 (EISKL 2022) yang disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Ahmad Faizal bin Dato’ Azumu, Menteri Belia dan Sukan.
EISKL 2022 yang pertama kali dianjurkan oleh Sekretariat Industri Sukan (SIS), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut menyaksikan pelancaran enam produk sukan terbaharu dari beberapa syarikat terkemuka. Pengenalan Liga Baseball Kebangsaan serta Program E-Sukan Virtual Football World Cup Fever 2 adalah antara acara tarikan ketika berlangsungnya Majlis Perasmian EISKL 2022 yang di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Dengan tema “Industri Sukan Pemangkin Ekonomi Negara”, EISKL 2022 adalah merupakan inisiatif kerjasama di antara SIS bersama Rakan Penganjur dari sektor swasta. Penganjuran sulung ini berjaya menarik penyertaan 70 buah syarikat tempatan serta pelbagai agensi kerajaan yang mewakili keseluruhan segmen industri sukan yang mempamerkan barangan, perkhidmatan, teknologi terkini serta kepakaran dalam bidang masing-masing.
Untuk pengetahuan, EISKL 2022 diharapkan akan menjadi perintis kepada kerjasama erat di antara kementerian dan para pemegang taruh industri sukan negara, memupuk jaringan kerjasama perniagaan di kalangan para pemain industri serta persediaan ke arah pengukuhan ekosistem industri sukan. Pelaksanaannya turut melibatkan kerjasama agensi-agensi di bawah KBS serta pelbagai kementerian lain.
Ahmad Faizal berkata, “Saya yakin EISKL juga mampu menjadi salah satu ekspo sukan terkemuka dunia sekaligus memartabatkan Kuala Lumpur Sports City (KLSC) di persada antarabangsa. Insha-Allah, usaha menjadikan Malaysia sebagai Hab Industri Sukan juga boleh direalisasikan yang mana apa jua acara bertaraf dunia boleh dianjurkan di KLSC.”
“Paling penting adalah usaha untuk menjadikan bidang sukan bersifat komersial, dinamik dan progresif selain memberi nilai tambah terhadap pembangunan sektor ekonomi negara. Penganjuran EISKL 2022 diharap menjadi perintis bagi menggalakkan aktiviti perniagaan sukan di Malaysia. Ia merupakan susun atur awal untuk KBS menonjolkan potensi dan sumbangan industri sukan terhadap pembangunan ekonomi negara,” jelas beliau.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Kesihatan, Pusat Pengajian Tinggi Awam, Perkeso adalah antara kementerian dan agensi Kerajaan yang turut sama bekerjasama memeriahkan EISKL 2022 yang diadakan bermula pada 6 hingga 9 Oktober 2022 di Kompleks Sukan Bukit Jalil.
Pihak penganjur menjangkakan EISKL 2022 bakal menarik 60,000 pengunjung sepanjang tempoh ia berlangsung. Orang ramai dijemput untuk datang berkunjung serta tidak melepaskan peluang untuk terlibat dalam banyak acara sampingan yang disusun seperti Ekspo Kerjaya Industri Sukan, Himpunan Kereta Volkwagen Malaysia, Thailand, Indonesia, Singapura, ESport, Fun Ride, Fun Run,Taxi Drift Run, Futsal, Zumba, Women Football Clinic, Flying Fox, Huddle Basketball, konsert, cabutan bertuah, karnival Food Truck dan banyak lagi. EISKL 2022 akan bermula dari jam 8 pagi sehingga 10 malam.