lavinesh

PIALA AGONG 2022 DITANGGUHKAN

PIALA AGONG 2022 DITANGGUHKAN

October 12, 2022 8:23 am

KUALA LUMPUR, 12 Oktober 2022 – Setelah pengumuman pembubaran Parlimen oleh YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia pada 10 Oktober 2022, Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) telah mengeluarkan kenyataan semalam bahawa Kejohanan Ragbi Piala Agong Edisi ke-38 akan ditangguhkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut kenyataan KRM, Fahmy Jalil, Naib Presiden & Pengarah Pertandingan KRM berkata, “Kesatuan Ragbi Malaysia pada hari ini (11 Oktober) memutuskan bahawa tarikh Kejohanan Ragbi Piala Agong yang akan bermula pada 22 Oktober 2022 ditangguhkan kepada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak selepas mendapat tarikh dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).”

“Lembaga Pertandingan Kesatuan Ragbi Malaysia akan mengadakan mesyuarat bersama dengan semua pengurus pasukan yang akan mengambil bahagian dalam masa terdekat untuk tujuan penyelarasan,” tambah beliau.

Untuk pengetahuan, Kejohanan Ragbi Piala Agong Edisi ke-38 ini dijadual berlangsung pada 22 Oktober hingga 26 November 2022. Edisi kali ini sepatutnya akan menyaksikan penyertaan daripada sebanyak 16 pasukan selepas ditangguh dua tahun susulan pandemik COVID-19.

#mySukanTV #BeritaSukan #KRM #MRU #agongcup #agongcuprugby #malaysiarugbyofficial #malaysiarugby #rugby #asiarugby

Sumber: mySukan TV, BERNAMA

Sumber Gambar: Malaysia Rugby