PORT DICKSON, 13 OKTOBER 2022 – Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Badan Berkanun Malaysia (PBBM), Mustaza Mohamad memberi jaminan bahawa Karnival Sukan Pantai Badan Berkanun Malaysia (SUPANUN) 2022 bakal menyajikan aksi lebih sengit selepas temasya itu kali terakhir dianjurkan pada 2018.
Temasya edisi keempat ini berlangsung di Pantai Batu Lima, Port Dickson, bermula hari ini hingga 16 Oktober dan menerima penyertaan sebanyak 31 agensi yang terdiri daripada lebih 700 atlet dan pegawai serta sukarelawan.
“Antara agensi yang mengambil bahagian ialah MBSA, UiTM, LHDN, MPOB, MPK, Perkeso, SSM, Mada, DBKL, ISN, UM, USIM, KWSP, UiAM, UPM dan lain-lain agensi.
“Tujuh acara dipertandingkan, bola sepak pantai (lelaki), bola jaring pantai (wanita), tarik tali pantai (lelaki dan wanita), sepak takraw pantai senior (lelaki), sepak takraw pantai veteran (lelaki), bola tampar pantai 4’s (lelaki dan wanita) dan petanque beregu pantai (lelaki dan wanita),” jelas Mustaza Mohamad.
SUPANUN merupakan acara sukan dwi tahunan PBBM yang mana edisi pertama mula diperkenalkan pada 2014 di Pantai Port Dickson, 2016 di Pantai Klebang, Melaka manakala edisi terakhir pada 2018 di Pantai Cenang, Langkawi, namun ditangguhkan pada 2020 akibat wabak Covid-19 melanda negara.
Penganjuran kali ini turut mendapat kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM), Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD).