PROGRAM KAYAK PUSING SELANGOR DULU PUPUK SEMANGAT BERSUKAN
PROGRAM KAYAK PUSING SELANGOR DULU PUPUK SEMANGAT BERSUKAN
October 14, 2022 3:02 am
SELANGOR, 14 Oktober 2022 – Kelab Sukan, Kebajikan dan Rekreasi Tourism Selangor akan menganjurkan Pusing Selangor Dulu Junior Ambassador Attack pada 15 Oktober 2022 sebagai sebahagian daripada Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), dengan kolaborasi bersama CSR Menteri Besar Incorporated (MBI) dan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE).
Seramai 70 orang anak-anak yatim daripada rumah anak yatim terpilih di sekitar Selangor; Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Darul Ehsan Malaysia, Asrama Anak Yatim Damai, Kuang, Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim/Miskin Kuala Langat dan Rumah Amal Raudhatul Jannah akan menyertai aktiviti berkayak di Paya Bakau Bagan Lalang, Sepang.
Bagi terus menyokong pembangunan rumah anak yatim di bawah YIDE, sumbangan sebanyak RM2,000 akan disalurkan oleh pihak Kelab Sukan, Kebajikan dan Rekreasi Tourism Selangor kepada YIDE melalui Program CSR ini. Program CSR pada tahun ini memainkan peranan yang amat penting dalam membina industri pelancongan yang lebih inklusif dengan melibatkan anak-anak ini sebagai duta kecil bagi negeri Selangor, terutamanya dalam mempromosikan pelancongan domestik melalui kempen #PusingSelangorDulu.
Tuan Azrul Shah Mohamad, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor berkata, “Pemilihan Sungai Sepang Besar di Bagan Lalang Sepang ini merupakan salah satu inisiatif bagi merancakkan industri pelancongan tempatan dan memperkenalkan produk serta aktiviti pelancongan kepada anak-anak yatim yang menyertai program ini. Di samping itu, program ini dapat memberikan kesedaran mengenai penjagaan alam sekitar serta pengenalan mengenai penjagaan hutan paya bakau khususnya di Bagan Lalang.”