SEPANG, 17 Oktober 2022 – Aksi hebat telah dipersembahkan oleh Qabil Irfan Azlan pada saingan perdana FIM MiniGP Malaysia Series 2022 di Litar Antarabangsa Kart Sepang semalam menyaksikan beliau yang hanya berusia 10 tahun itu dinobatkan gelaran juara keseluruhan sekali gus menjaminkan slotnya untuk bersaing di pentas FIM Mini World Finals yang dijadual berlangsung pada bulan November ini di Valencia, Sepanyol.
Qabil mengumpul sebanyak 236 mata daripada lima pusingan termasuk 50 mata semalam akan diiringi oleh Adi Putra, yang muncul naib juara keseluruhan pada saingan FIM MiniGP Malaysia Series musim ini dengan mengutip 183 mata untuk memenangi slot berlumba di Valencia lantas bersama-sama mengejar impian bergelar juara dunia.
Selepas lima pusingan dan bertarung dalam 10 perlumbaan musim ini, Akif Abdullah menduduki tempat ketiga keseluruhan siri berkenaan dengan mengumpul 145 mata. Sharf Muhriz menduduki tangga keempat dengan 122 mata dan Shah Putra di tempat kelima dengan 92 mata.
Seperti saingan pusingan lalu, Qabil membuktikan beliau berada dalam kelas berbeza daripada para penunggang lain dengan mencatatkan masa terpantas dalam sesi kelayakan untuk mengutip satu lagi Pirelli Pole Position Award sebelum memenangi Perlumbaan 1 dengan selesa bersama kelebihan 3.352 saat ke atas pemenang tempat kedua perlumbaan, Sharf Muhriz. Lebih hebat lagi, Qabil turut memecahkan rekod baru lap terpantas kejuaraan dengan catatan masa 55.831 saat mengelilingi litar sepanjang 1,247 meter semasa sesi latihan semalam.
Sementara itu, perlumbaan kedua terpaksa dimulakan semula selepas insiden yang melibatkan Akif, Farhan Naqib dan penunggang Vietnam, Nguyen Met pada lap pertama, menyaksikan Qabil mengekalkan dominasi beliau untuk mencatat kemenangan mudah menamatkan perlumbaan yang dipendekkan kepada 16 lap itu dengan masa 15 minit 9.301 saat dan 2.765 saat di hadapan Sharf Muhriz, yang kekal berada di tempat kedua dalam dua perlumbaan semalam.
Sementara itu dalam saingan SIC Ohvale Junior Championship, Airel Marzuki dinobatkan sebagai juara musim 2022 dengan mengumpul 216 mata termasuk 45 mata pada saingan Pusingan 5 semalam. Dikejutkan pada Perlumbaan 1 oleh penunggang cilik Indonesia, Giovanni Gani, Airel, yang menduduki tempat kedua, Airel bangkit pada Perlumbaan 2 untuk memenangi perlumbaan berkenaan sekali gus mengesahkan status beliau sebagai pelumba terbaik dalam kelas ini.
Qayyim Razin, yang tidak dapat memulakan Perlumbaan 1 atas masalah teknikal, beraksi cemerlang pada Perlumbaan 2 untuk menduduki tempat kedua dengan mengutip 20 mata bagi membawa pungutan penuh kepada 170 mata dan tempat kedua kejuaraan. Tempat ketiga diduduki oleh Shazrel Aqief dengan 152 mata dan disusuli oleh Giovani di tempat keempat keseluruhan dengan 136 mata. Aqil Ramadhan, yang menduduki tempat ketiga pada Perlumbaan 2, menduduki tangga kelima keseluruhan dengan 129 mata.
Untuk pengetahuan, acara FIM MiniGP Malaysia Series dan SIC Ohvale Junior Championship 2022 yang dianjurkan bersama oleh Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) dan ZK Racing telah berlangsung dalam lima pusingan. Ia bermula di Sepang sebelum diteruskan dengan Pusingan 2 di Litar Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Arau; Pusingan 3 di Litar Lumba Tangkak, Johor; disusuli pula saingan Pusingan 4 di Litar Go Kart MORAC Adventure Park di Cenang, Langkawi sebelum berakhir semalam di Litar Antarabangsa Kart Sepang.