KEJOHANAN BADMINTON REMAJA DUNIA 2022 : MALAYSIA MUDAH RATAH SWEDEN
KEJOHANAN BADMINTON REMAJA DUNIA 2022 : MALAYSIA MUDAH RATAH SWEDEN
October 18, 2022 3:22 am
SANTANDER, 18 OKTOBER 2022 – Seperti dijangka, Malaysia tidak berdepan masalah mencipta kemenangan pertama menundukkan Sweden 5-0 dalam misi merebut Piala Suhadinata pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia malam tadi di Santander, Sepanyol.
Diletakkan dalam Kumpulan A, pemain perseorangan lelaki negara, Justin Hoh menyumbang mata sulung buat Malaysia selepas beliau mudah meratah Eric Ramstedt 21-10, 21-10.
Mata kedua buat Malaysia hadir menerusi pemain perseorangan wanita, Siti Nurshuhaini Azman yang menewaskan Khushi Harakamani 21-12, 21-12 sebelum Muhammad Fazriq Mohamad Razif- Wong Vin Sean, beregu lelaki negara mengesahkan kemenangan buat kem Malaysia dengan menundukkan Victor Morskogen-Daniel Strom, 21-12, 21-9.
Bagaimanapun, perlawanan tampak sengit dalam pertembungan beregu wanita apabila pasangan negara, Ong Xin Yee- Carmen Ting bermandi peluh beraksi 3 set untuk menewaskan Elin Ohling-Elin Ryberg, 21-18,17-21, 21-16.
Begitu juga yang berlaku dalam perlawanan terakhir melibatkan beregu campuran negara, Bryan Jeremy Goonting-Lee Xin Jie yang turut dikerah sebelum menang dalam aksi rubber set menundukkan Mio Molin-Sofia Stromvall, 21-16, 21-23, 21-15.
Sementara itu, Indonesia turut tidak berdepan masalah dalam misi mempertahankan kejuaraannya apabila mereka mudah menewaskan Latvia 5-0 dalam satu lagi aksi Kumpulan A.
Skuad muda badminton negara akan turun lagi hari ini (jam 3 petang waktu Malaysia) berdepan Latvia dan wajib menang bagi memudahkan laluan ke peringkat seterusnya sebelum menentang Indonesia pada Rabu bagi melengkap jadual Kumpulan A.