KEJOHANAN GOLF AMATUR DUNIA 2022 MEDAN PILIH PEMAIN PELAPIS NEGARA
KEJOHANAN GOLF AMATUR DUNIA 2022 MEDAN PILIH PEMAIN PELAPIS NEGARA
October 20, 2022 6:21 am
KUALA LUMPUR, 20 OKTOBER 2022 – Kejohanan Golf Amatur Dunia (WAGC) 2022 akan menjadi medan terbaik untuk barisan pemain muda negara mendapatkan mata merit secukupnya bagi menempatkan diri dalam pasukan kebangsaan ke Sukan SEA Kemboja 2023.
Laungan cabaran itu disampaikan oleh Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA), Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor memandangkan lima pemain yang dipilih ke kejohanan itu tidak pernah mewakili negara pada mana-mana kejohanan peringkat antarabangsa.
Barisan lima pemain itu terdiri daripada Mohd Firdaus Ahmad, Ryan Loh, Mohammed Faisal Hussain, T. Magenthiran dan Syahril Hirman Azmee yang mana mereka dipilih selepas memenangi Kejohanan Amatur Kebangsaan 2022 hujung minggu lalu.
“Untuk ke Sukan SEA yang akan datang, kita akan melihat prestasi mereka berdasarkan mata merit dalam Ranking Golf Dunia Amatur (WAGR) yang ditetapkan MGA. Jadi kalau mereka ada WAG yang tinggi dan boleh beraksi lebih baik daripada pemain kebangsaan sedia ada, mereka boleh ke Sukan Sea” jelas Mohd Anwar.
Untuk rekod, Malaysia mencipta sejarah pada edisi Sukan SEA Vietnam tahun ini dengan julung kali dikalungkan pingat emas golf menerusi pemain berusia 24 tahun, Ervin Chang.
Ervin turut membantu Marcus Lim Pang Chuen, K. Rhaasrikanesh dan A Nateeshvar memenangi pingat emas dalam acara berpasukan menundukkan Thailand 2-1 di final yang mana kali terakhir Malaysia memenangi Emas berpasukan adalah dua dekad lalu.