haziq

PARA SUKMA 2022 ‘WAJIB’ BEBAS ISU DOPING

PARA SUKMA 2022 ‘WAJIB’ BEBAS ISU DOPING

November 1, 2022 2:27 am

BUKIT JALIL, 1 NOVEMBER 2022 – Kehangatan Sukan Para Malaysia (Para Sukma) 2022 yang membuka tirainya hari ini menyaksikan penyertaan 15 kontinjen negeri dalam 10 jenis sukan membabitkan 294 acara berlangsung di sekitar Lembah Klang.

Dalam pada itu, Majlis Sukan Negara (MSN) menerusi Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Shapawi Ismail menyeru agar semua atlet yang terlibat agar mengelakkan diri daripada sebarang kontroversi yang melibatkan isu doping.

Harapan dan nasihat itu dizahirkan selepas beberapa siri pembentangan oleh MSN dan  Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) mengenai perkara berkenaan lantas setiap atlet disarankan agar mengisytiharkan segala bahan perubatan yang mereka ambil.

“Kita faham atlet para ada menggunakan bahan-bahan perubatan bagi merawat kekurangan. Mereka sudah pun diberikan taklimat dan dimaklumkan mengenai perkara ini.

“Jadi, kita berharap mereka sudah mengambil langkah seperti yang dinasihatkan oleh ADAMAS supaya mengisytiharkan ubat-ubatan yang digunakan dalam kehidupan seharian mereka agar ia tidak dianggap sebagai satu kesalahan dalam doping sekiranya dikesan,” jelas beliau selepas Majlis Selamat Datang dan Menaikkan Bendera Kontinjen Para Sukma 2022 di MSN Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam.

Majlis disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Para Sukma 2022 yang juga Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Jana Santhiran Muniayan.

Untuk rekod,  tiga atlet angkat berat dari Terengganu dan Perlis diuji positif doping sewaktu temasya Sukma 2022 September lalu sekali gus dilarang bertanding.

Temasya Sukan Para Malaysia (Para Sukma) 2022 akan berlangsung sehingga 6 November ini namun timbul beberapa kebimbangan mengenai  keadaan cuaca tidak mengizinkan yang mana pihak MSN sudah mempunyai pelan alternatif.

“Kami sudah berbincang mengenai perkara ini. Sekiranya cuaca tidak menentu, kita akan cuba menyusun semula jadual pertandingan. Seboleh-bolehnya kita tetap mahu menghabiskan temasya kali ini pada 6 November.

“Namun, kita akan tengok dulu keadaan dan sekiranya berlaku apa-apa yang menyebabkan pertandingan tertangguh, kita akan ada pelan alternatif. Pada masa sama kita berdoa agar cuaca tidak menghalang penganjuran Para Sukma kali ini,” tambah beliau.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #DemiMalaysia #KontinjenMALAYSIA #ParaSukma2022

Sumber: Sinar Harian

Sumber Gambar: Majlis Sukan Negara (MSN)