haziq

SABAH MUNCUL JUARA KESELURUHAN PARA SUKMA 2022

SABAH MUNCUL JUARA KESELURUHAN PARA SUKMA 2022

November 7, 2022 2:38 am

KUALA LUMPUR, 7 NOVEMBER 2022 – Dominasi Sarawak selama 13 temasya Para Sukan Malaysia akhirnya lebuh kepada Sabah yang mencipta sensasi dan kejutan dengan secara rasmi muncul juara keseluruhan Para Sukan Malaysia (Para Sukma) 2022 yang melabuhkan tirainya semalam.

Kontinjen negeri dibawah bayu itu berjaya membawa pulang 52 emas, 34 perak dan 31 gangsa meninggalkan juara bertahan, Sarawak di tangga kedua carta kutipan pingat dengan 47 emas, 45 perak serta 48 gangsa manakala tempat ketiga jadi milik Johor yang memenangi 36 pingat emas , 28 perak dan 23 gangsa.

Ketua Kontinjen Sabah, Datuk Mansur Assun dalam kenyataannya berkata, beliau tidak menjangkakan Sabah muncul juara keseluruhan memandangkan sasaran asal mereka adalah merangkul 40 emas dan berada di tangga kedua.

“Latihan yang kita lakukan selama dua tahun sejak 2018 membuahkan hasil, kejayaan ini adalah hasil usaha keras semua termasuk Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Pestron (Persa­tuan Sukan dan Rekreasi Orang Kelainan Upaya Sabah) serta ibu bapa yang sentiasa memberikan sokongan kepada atlet.

Kem olahraga negeri Sabah merupakan penyumbang terbesar pingat emas iaitu 30 pingat sementara renang membawa pulang 12 emas dan ping pong lapan emas.

Temasya kali ke-20 ini juga menyaksikan atlet olahraga Mohamad Zikri Zakaria dan pemanah compound Nur Jannaton Abdul Jalil, masing-masing dinobatkan sebagai Atlet Lelaki dan Wanita Terbaik.

Mohamad Zikri yang mewakili negeri Melaka dipilih sebagai atlet terbaik atas kejayaannya merangkul tiga pingat emas menerusi acara lempar cakera, merejam lembing dan lontar peluru F55 (berkerusi roda), kesemuanya dengan memecahkan rekod temasya.

Atlet berusia 23 tahun itu mencatatkan rekod baharu lempar cakera dengan lemparan sejauh 22.75 meter (m) mengatasi catatan lama 18.45m, rekod merejam lembing dengan 20.97m (18.26m) dan rekod lontar peluru dengan jarak 9.61m (7.26m).

Nur Jannaton pula yang mewakili Perak merangkul tiga emas menerusi acara 50m individu, pusingan Olimpik Individu dan acara 50m pasukan campuran bersama Zafi Rahman Mat Saleh.

Untuk rekod, temasya tahun ini menerima penyertaan seramai 1,315 atlet mewakili 15 kontinjen bersaing merebut 290 pingat emas yang ditawarkan dalam 10 jenis sukan – boccia, renang, badminton, catur, boling padang, memanah, olahraga, ping pong, powerlifting dan tenpin boling.

Majlis penutup disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ti Lian Ker dan turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D.Shahriman Zaharuddin serta Presiden Persatuan OKU Sentral Senator Datuk Ras Adiba Radzi.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #ParaSukma2022 #DemiMALAYSIA #KontinjenMalaysia

Sumber: Utusan / Majlis Sukan Negara

Sumber Gambar: Kementerian Belia & Sukan Sabah / Bernama