KUALA LUMPUR, 9 NOVEMBER 2022 – Skuad bawah-16 (B-16) negara sah akan berkelana di bumi Qatar pada Februari tahun hadapan bagi memastikan pasukan itu mampu memberikan aksi terbaik di pentas Piala Asia Bawah 17 tahun (B-17) yang berlangsung tahun depan.
Pengesahan itu disuarakan sendiri oleh Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi yang mengakui pemain muda negara memerlukan latihan intensif di luar negara bagi memastikan mereka dapat mengekalkan momentum seterusnya berada di dalam ‘form’ yang terbaik.
“Kita merancang untuk mengadakan latihan intensif kerana kita lihat pasukan ini mencapai keputusan membanggakan dengan layak ke Piala Asia B-17.
“Jadi kita harap pasukan ini boleh pergi lebih jauh selepas ini dan secara dasarnya, kita bersetuju untuk menghantar mereka ke Qatar bagi tempoh hampir sebulan bermula Februari nanti,” jelas beliau.
Berita baik juga buat para pemain dan peminat apabila Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman memberi jaminan bahawa khidmat pengumudi pasukan negara, Osmera Omaro akan dikekalkan bagi membawa cabaran di kejohanan tersebut.
Malaysia mempamerkan aksi garang sepanjang kempen kelayakan Piala Asia B-17 awal bulan lepas yang mana skuad bimbingan Osmera menduduki tempat pertama Kumpulan B menerusi rekod tanpa kalah dengan membelasah Palestin 4-0, seri 1-1 menentang Guam, menundukkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 3-2 dan membelasah Indonesia 5-1.