fariszolkefli

JAGUH LARIAN MENARA NEGARA PECAH REKOD DI DUBAI

JAGUH LARIAN MENARA NEGARA PECAH REKOD DI DUBAI

November 14, 2022 8:16 am

DUBAI, 14 NOVEMBER 2022 – Atlet larian menara negara, Soh Wai Ching berjaya menggondol tempat pertama di Kejohanan Larian Menara, Dubai Holding Sky Run 2022 yang bertempat di Dubai, UAE. 

Walaupun berdepan kesukaran akibat bertembung dengan pelari lain dan tergelincir ketika acara berlangsung, ia bukanlah halangan buat beliau untuk menawan 1,334 anak tangga dengan ketinggian 52 tingkat, sekaligus memecahkan rekod kejohanan yang dipegang oleh Piotr Lobodzinski dari Poland (6:55s), dengan catatan baharu, 6:53s.

Mengekori rapat di belakangnya adalah Ryoji Watanabe dari Jepun, dengan catatan 6:58s, Fabio Ruga dari Itali (7:12s), Naoya Endo (7:32s) dan Hiroshi Kato (7:41s), masing-masing dari Jepun.

Kejohanan yang berlangsung di Menara Jumeirah Emirates ini disertai oleh 250 atlet dari 40 negara dengan penyertaan atlet pelbagai lingkungan umur dari 16 hingga 78 tahun. Ia merupakan kejuaraan antarabangsa kali ke-12 berturut-turut buat Soh Wai Ching pada tahun ini.

Terdahulu, Soh Wai Ching unggul di persada dunia apabila muncul sebagai juara keseluruhan di Ho Chi Minh dalam acara Vietnam HCMC Skyrun 2022, pada hujung bulan lalu yang berlangsung di Bitexco Financial Tower dengan catatan masa 4:54s.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #TowerRunner #DubaiHoldingSkyRun

Sumber: Soh Wai Ching

Sumber Gambar: Soh Wai Ching