KUALA LUMPUR, 15 NOVEMBER 2022 – Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli telah selamat tiba ke tanah air lewat petang semalam selepas menamatkan saingan di Asia Talent Cup 2022 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Mandalika, Indonesia pada Ahad lalu.
Hakim menamatkan perlumbaan di Mandalika dengan menduduki tempat kedua, diikuti pencabar terdekatnya, Veda Ega Pratama dari Indonesia, manakala Shinya Ezawa dari Jepun menjadi juara dalam saingan sengit di sana.
Berbekalkan 187 mata, Hakim dinobatkan sebagai juara keseluruhan Asia Talent Cup 2022 apabila berjaya menaiki podium sebanyak tujuh kali dengan empat kali kemenangan sepanjang enam pusingan pada perlumbaan musim ini; meninggalkan Shinya Ezawa 10 mata di belakang, 177 mata, dan 141 mata yang berjaya diraih Veda Ega Pratama.
Sejarah juga telah tercipta apabila pelumba kelahiran Terengganu ini muncul anak Malaysia pertama yang berjaya merangkul kejuaraan di Asia Talent Cup sejak perlumbaan itu dipertandingkan pada 2014.
Sebelum meraih kejuaraan ini, Hakim berjaya merangkul gelaran juara pada perlumbaan di litar yang sama ketika pusingan kedua Mac lalu dan juga juara di pusingan keempat di Litar Antarabangsa Chang, Thailand serta kejuaraan di Litar Antarabangsa Sepang pada pusingan kelima.