fariszolkefli

MSN OPTIMIS RAIH PENCAPAIAN LEBIH BAIK DI KEMBOJA

MSN OPTIMIS RAIH PENCAPAIAN LEBIH BAIK DI KEMBOJA

November 16, 2022 9:16 am

KUALA LUMPUR, 16 NOVEMBER 2022 – Majlis Sukan Negara (MSN) menjangkakan kejayaan yang lebih baik di temasya Sukan SEA edisi ke-32 yang bakal berlangsung di Phnom Penh, Kemboja pada 5 hingga 17 Mei 2023.

Ketika berlangsungnya Perhimpunan Atlet Fasa 1 Sukan SEA 2023 yang diadakan di Dewan Banquet Casa 4, MSN, Bukit Jalil hari ini, Timbalan Ketua Pengarahnya, Suhardi Alias bersikap optimis bahawa kontinjen negara bakal mempamerkan aksi cemerlang dan membanggakan negara di Phnom Penh kelak.

Menurut Suhardi, persediaan awal telah pun dilakukan, termasuk pemilihan atlet pada Mac 2022 bagi menghadapi cabaran di temasya dwitahunan tersebut. Perhimpunan hari ini juga adalah salah satu langkah persediaan buat atlet menggalas tugas negara, dengan tumpuan diberikan terhadap aspek sains sukan dan motivasi buat atlet.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin menyifatkan bahawa, penghantaran atlet bawah 23 tahun ke temasya itu adalah untuk memberi pendedahan dan peluang kepada mereka untuk lebih bersedia dalam kejohanan lebih besar pada masa akan datang. 

Bulan lalu, Jawatankuasa Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menetapkan hanya atlet berusia 23 tahun ke bawah boleh mewakili negara bagi kategori B, manakala atlet senior perlu melepasi had kelayakan kategori A, iaitu kedudukan tiga terbaik di Asia Tenggara bagi mewakili negara ke Phnom Penh.

Setakat ini, tiada sebarang sasaran pingat diletakkan lagi dan ia hanya akan diumumkan sebulan sebelum acara berlangsung. Pada edisi ke-31 di Hanoi, kontinjen negara berjaya melepasi sasaran pingat dengan memperolehi 39 emas, 45 perak dan 90 gangsa berbanding 36-35-75 pingat yang disasarkan.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #SukanSEA #DemiMalaysia #KontinjenMalaysia

Sumber Gambar: Majlis Sukan Negara