KUALA LUMPUR, 21 NOVEMBER 2022 – Sepang International Circuit (SIC) mengumumkan kerjasama strategik bersama pemilik jenama pakaian siar dan gaya hidup ternama di Malaysia, Stoned & Co., iaitu Idotshirt Sdn. Bhd., ketika berlangsungnya Sepang 1000KM Endurance Race (S1K), semalam.
Stoned & Co. yang terkenal dengan fesyen gaya hidup dan pakaian siar itu bakal melancarkan beberapa barisan pakaian edisi terhad melalui kerjasama SIC X Stoned Motorsports.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman, pihak SIC berbangga dapat menjalinkan kerjasama bersama Stoned & Co. yang sememangnya terkenal dengan jenama gaya hidup dan pakaian siar di Malaysia.
Kerjasama ini bukan sahaja dapat memberi peluang pertumbuhan dan jalinan kerjasama yang lebih utuh, ia juga dapat membantu SIC untuk melebarkan sayap bagi memikat golongan muda.
Pengarah Urusan Idotshirt Sdn. Bhd, Andrew Ngo memaklumkan bahawa kerjasama ini amatlah penting kerana ia dapat membuka peluang baharu untuk jenama mereka berkembang di peringkat tempatan mahupun antarabangsa. Mereka juga berhasrat untuk menembusi pasaran automotif melalui kerjasama bersama SIC ini.
Koleksi SIC X Stoned Motorsports kini boleh dilihat di laman media sosial Stoned & Co dan juga di laman sesawang mereka.
Sementara itu dalam perlumbaan di S1K semalam, empat kategori telah dipertandingkan, iaitu Malaysian Touring Car (MTC), SP2-G, SP2-V, dan Vios Enduro Cup melibatkan 68 buah kereta. Dalam kategori MTC, gelaran juara disambar pasukan Toyota Gazoo Racing Malaysia, diikuti oleh Wing Hin Motorsports dan Hi-Rev Dream Chaser di tempat ketiga.
Bagi kategori SP2-G pula dimenangi oleh Empire M Racing, diikuti oleh R Engineering HMRT dan tempat ketiga disandang oleh pasukan daripada Rworks Riyoz. Manakala bagi Kategori SP2-V menyaksikan dominasi Rworks Riyoz apabila berjaya menggondol kejuaraan dan juga naib juara, meninggalkan Applied Performance X LW di tempat ketiga.
Dalam kategori Vios Enduro Cup, 23 Motors membolot kejuaraan dengan kejayaan menaiki podium juara dan naib juara. Tempat ketiga bagi kategori ini pula disandang oleh Carroof Motorsports.
S1K edisi ke-14 ini menyaksikan penyertaan pelumba dari pelbagai negara dengan 47 pelumba dari Singapura, Jepun dan Taipei masing-masing dengan 7 penyertaan, Indonesia (6), Hong Kong (4), Vietnam dan India (2), dan UAE.