Faris Zolkefli

AALIYAH YOONG AKHIRI MUSIM 2022 DENGAN REKOD BAHARU ASIA

AALIYAH YOONG AKHIRI MUSIM 2022 DENGAN REKOD BAHARU ASIA

November 22, 2022 7:06 am

AUSTRALIA, 22 NOVEMBER 2022 – Atlet ski air negara, Aaliyah Yoong Hanifah akhiri musim ini dengan bergaya apabila memecahkan rekod Asia miliknya sendiri dalam temasya Oceania Championships 2022 yang berlangsung di Max Kirwan Ski Park Mulwala, New South Wales, Australia hujung minggu lalu.

Berbekalkan 7,970 mata, ia sudah cukup untuk memperbaharui rekod lamanya iaitu 7,960 yang dicatat pada 16 Julai lalu sewaktu temasya World Games, Alabama, Amerika Syarikat; di mana Aaliyah merupakan atlet ski air Malaysia pertama yang berjaya menggondol kejuaraan di kejohanan berprestij itu.

Walaupun hanya berjaya meraih tempat ketiga ketika acara slalom dan kelima untuk lompatan (34.3m), atlet muda berusia 19 tahun ini berjaya memecahkan rekod peribadinya untuk slalom dengan catatan 4.5/55kmh/12m.

Menurut pengurus pasukan, Danny Choo, walaupun berdepan kesukaran akibat tiupan angin ketika lompatan, Aaliyah berjaya mempamerkan aksi yang terbaik dan menepati jangkaan pasukan.

“Saya amat berpuas hati dengan prestasi saya dan sudah memberikan yang terbaik untuk pertandingan ini. Keputusan ini amatlah penting bagi saya untuk mengekalkan ranking dunia dan persediaan bagi kejohanan International Waterski Wakeboard Federation (IWWF) di masa hadapan,” ujar Aaliyah.

Aaliyah turut menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada pihak Majlis Sukan Negara kerana menghantarnya ke tujuh kejohanan antarabangsa pada tahun ini dan sedang melakukan persiapan bagi memburu podium di kejohanan IWWF U21 Waterski World Championships 2023 yang akan berlangsung di Mexico pada Jun hadapan.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #SkiAir #OceaniaChampionships2022 #Australia

Sumber Gambar: Hanifah Yoong