fariszolkefli

SSMP A DAN JOHOR RANGKUL KEJUARAAN DI NRDP 7’S

SSMP A DAN JOHOR RANGKUL KEJUARAAN DI NRDP 7’S

November 25, 2022 6:41 am

SELANGOR, 25 NOVEMBER 2022 – Usaha tidak akan mengkhianati hasil. Itulah ungkapan yang bersesuaian buat pasukan Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) A apabila berjaya membolot gelaran juara kategori B-16, menumpaskan pasukan Selangor di Kejohanan Program Pembangunan Ragbi Negara (NRDP) 7 Sebelah (7’s) Peringkat Kebangsaan 2022, semalam.

Dalam saingan penentu di Stadium Mini Shah Alam itu, pasukan SSMP A diasak hebat di awal permainan, melihatkan penguasaan pasukan Selangor sehingga tamat separuh masa pertama dengan 12 mata berbalas 0. Namun, semuanya berubah apabila SSMP A tampil bergaya di separuh masa kedua bangkit mengikat kedudukan 12-12 sebelum ‘try’ terakhir oleh SSMP A menafikan harapan Selangor untuk muncul juara.

Terdahulu, dalam aksi separuh akhir B-16 menyaksikan SSMP A menumpaskan SSMP B 10-7, dan pasukan Selangor menewaskan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) 12-7 untuk kedua-kedua pasukan ini bertemu di pentas penentuan.

Sementara itu, pasukan dari selatan tanah air, Johor, mengecewakan kedua-dua wakil dari Lembah Klang, KL Saracens dan Kuala Lumpur dalam saingan peringkat separuh akhir dan akhir bagi kategori B-18. KL Saracens dihantar pulang di peringkat separuh akhir dan seterusnya Kuala Lumpur menjadi hidangan pasukan Johor untuk muncul sebagai juara di pentas final dengan 14-0.

Kejohanan sulung yang berlangsung dari 22 November hingga 24 November 2022 ini dianjurkan oleh NRDP dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM).

Ia merupakan sebuah inisiatif untuk menaikkan lagi sukan ragbi yang kompetitif di peringkat akar umbi.

Sebanyak 28 buah pasukan dengan dua penyertaan antarabangsa iaitu Filipina dan Thailand telah berentap dalam kejohanan ini.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #Ragbi #RagbiMalaysia #NRDP #BungaRayaSevens2022

Sumber Gambar: NRDP Malaysia