SELANGOR, 30 NOVEMBER 2022 – Pasukan dari Selangor yang juga merupakan pasukan ‘favourite’ menepati ramalan apabila berjaya membolot gelaran juara dalam Kejohanan Dodgeball Kebangsaan 2022 – Grand Finals (NDC 2022) bagi kategori lelaki dan wanita.
Pasukan Selangor-Goat yang terdiri daripada ‘All Star’ Dodgeball Malaysia menumpaskan Pulau Pinang-Wolf untuk mengesahkan kejuaraan bagi kategori lelaki. Manakala bagi kategori wanita pula, Selangor-Saints membenam impian Pulau Pinang-Wolf untuk menggenggam kejuaraan musim ini.
Tempat ketiga bagi kategori lelaki disandang oleh Elf (Johor) dan Komodo (Putrajaya). Elf sekali lagi tampil hebat dengan menyandang tempat ketiga bagi kategori wanita bersama-sama Skill Dodgers dari Perak.
Kejohanan yang bertempat di Sportizza, Klang, Selangor itu berlangsung pada 26 November 2022, disertai sebanyak 15 buah pasukan dari negeri Selangor sebagai tuan rumah, Terengganu, Pulau Pinang, Kelantan, Johor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Perak dan Melaka. Pasukan-pasukan ini layak ke Grand Final selepas mengharungi musim NDC 2022.
Kejohanan yang dianjurkan oleh Persatuan Dodgeball Malaysia (MAD) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Evemeisters ini dirasmikan oleh Tuan Sabran, Pengarah Cawangan Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBSN) dan majlis penutup dan pengalungan pingat kepada para pemenang disempurnakan oleh Puan Azura Haji Sarbin, Pengarah JBSN Selangor.
Musim baharu bagi NDC 2023 akan bermula dari Mac – Ogos bagi kelayakan peringkat negeri dan NDC – Grand Finals 2023 dijangka akan berlangsung pada Oktober 2023.
Bagi yang terlepas siaran langsung NDC – Grand Finals 2022, siaran ulangan masih boleh ditonton di laman Facebook mySukan TV melalui pautan di bio mySukan TV.