ATLANTIS, TODAK DAN HALOWAKE UNGGULI MEL22 OPEN SERIES
ATLANTIS, TODAK DAN HALOWAKE UNGGULI MEL22 OPEN SERIES
December 7, 2022 4:02 am
PUCHONG, 7 DISEMBER – Liga Esukan Malaysia 2022 Siri Terbuka atau Malaysia Esports League 2022 Open Series (MEL22 Open Series) menyaksikan kehebatan pasukan Atlantis apabila dinobatkan sebagai juara bagi kategori Dota 2 MEL22 Open Series. Team Atlantis yang juga merupakan pasukan professional tempatan, sebelum ini berjaya menempa nama sebagai juara di Commonwealth Esports Championships 2022 yang bertempat di Birmingham, England. Sementara itu, dalam kategori Valorant MEL22 Open Series, kejuaraan menjadi milik pasukan Todak. Manakala bagi kategori FIFA MEL22 Open Series, digondol oleh Faiq Iskandar (Halowake).
Juara bagi setiap kategori membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM10,000 berserta piala pusingan dan juga pingat. Jumlah hadiah terkumpul bagi MEL22 Regular Series dan MEL22 Open Series pada kali ini adalah sebanyak RM299,500.
MEL22 Regular Series yang terbahagi kepada dua peringkat iaitu Liga Negeri yang berlangsung pada 12 – 29 September 2022 dan Peringkat Kebangsaan pada 1 Oktober – 2 November 2022 mempertandingkan judul atau kategori permainan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), PlayerUnknown’s Battleground Mobile (PUBGM) dan Garena Free Fire (FF). Manakala MEL22 Open Seriesyang berlangsung pada 9 November – 4 Disember 2022 pula mempertandingkan kategori Dota 2, FIFA23 dan Valorant. Jumlah pendaftaran bagi MEL22 adalah seramai lebih 12,000 orang, terutamanya dalam kalangan belia.
MEL22 Open Series akan diteruskan dengan satu lagi edisi menampilkan sebuah judul permainan terbitan syarikat tempatan, Ammobox Studios Sdn. Bhd iaitu EXIMIUS: Seize the Frontline pada 9 – 15 Januari 2023 dan siri khas bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU), Para MEL22 pada bulan Februari 2023 menampilkan judul MLBB. Selepas tamatnya MEL22, pemenang-pemenang MEL22 akan mendapat slot automatik di Kejohanan Esukan Malaysia 2022/2023 atau Malaysia Esports Championship 2022/2023 (MEC 2022/2023) yang bakal berlangsung dalam masa terdekat. Untuk pemenang Para MEL22, mereka berpeluang mewakili Malaysia bagi kategori MLBB di sukan temasya OKU, Sukan ASEAN Para 2022 yang akan berlangsung di Kemboja pada bulan Mei dan Jun 2023.
MEL22 dianjurkan oleh KBS menerusi ESI dengan kerjasama daripada 16 persatuan sukan elektronik negeri dan Wilayah Persekutuan, selaras dengan program pembangunan di bawah roadmap ESI dan Pelan Strategik Pembangunan Sukan Elektronik KBS 2020 – 2025. MEL22 telah mendapat sokongan penerbit permainan MLBB, Moonton Games; PUBGM, Tencent Games; dan Free Fire, Garena. MEL22 juga disokong oleh Penaja Gangsa, Nescafe dan Indomie; Rakan Media iaitu eGG Network, Rakita 107.9 dan TikTok; dan juga disokong Rakan Safe Sport, Safe Sport Malaysia dan Rakan Anti-Doping, Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS). MEL22 juga menyokong inisiatif #ImpactTolongHantar anjuran Impact Malaysia.