fariszolkefli

BRAAAP 2 HOURS ENDURANCE 2022 BAKAL GEGARKAN LITAR SEPANG

BRAAAP 2 HOURS ENDURANCE 2022 BAKAL GEGARKAN LITAR SEPANG

December 8, 2022 4:33 am

PUTRAJAYA, 8 DISEMBER – Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bakal menyaksikan keghairahan adrenalin 46 buah pasukan yang bakal beradu kekuatan mesin dalam Budak Kimia Braaap 2 Hours Endurance 2022 pada Ahad ini, 11 Disember 2022. 

Enam kategori perlumbaan bakal dipertandingkan, di mana tiga daripadanya adalah untuk saingan ‘endurance’ dan tiga lagi untuk perlumbaan ‘sprint’. Bagi acara ‘endurance’ ia adalah ekslusif untuk jentera ‘kapcai’ (moped) berkapasiti 150cc dan ‘sportbike’ berkapasiti maksimum 400cc. 

Edisi kedua Braaap 2 Hours Endurance 2022 merupakan anjuran Braaap Motorsports dengan kerjasama Pertubuhan SK13 serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan disokong oleh rakan penaja yang lain. Edisi kali ini melihatkan penyertaan penunggang antarabangsa dari Thailand, Taiwan, Indonesia dan Singapura yang akan memberikan saingan sengit kepada 100 lagi belia tempatan yang menyertai perlumbaan ini.

“Tiada bayaran masuk dikenakan untuk para penonton menyaksikan acara ini dari Grandstand Utama. Pihak penganjur akan turut memperagakan pelbagai ‘promo booth’ di Mall Area untuk dikunjungi oleh para peminat dan ahli keluarga mereka sementara menyaksikan perlumbaan hebat ini,” jelas ketua penganjur dan Presiden Kelab Sukan Bermotor BRAAAP, Encik Azuan Izadee pada majlis pelancaran yang diadakan di KBS, Putrajaya semalam.

“Kami di BRAAP Motorsport amat berterima kasih atas segala sokongan daripada pihak penaja utama seperti Budak Kimia, Jond Chain Lube dan Tobaki Racing, yang amat signifikan untuk kejayaan penganjuran edisi tahun ini. Kami juga berharap komuniti sukan pemotoran tanah air khususnya dalam kelas dua roda akan bersama-sama kami memeriahkan acara yang kami sasarkan untuk menjadi acara tahunan yang dinantikan oleh peminat sukan bermotor seluruh tanah air,” tambah Azuan.

Turut mengambil bahagian dalam perlumbaan ini ialah penunggang sensasi negara, Hafizh Syahrin Abdullah atau dengan jolokan nama ‘Pescao’ akan bersaing dalam kategori MP150 Elite yang dijangka turut menampilkan para pelumba utama negara serta penunggang professional jemputan antarabangsa.

Untuk memeriahkan lagi edisi kali ini, satu lagi acara menarik akan diadakan iaitu Tobaki Hotlap, di mana 150 peserta daripada SK13 dan rakan-rakan penaja Braaap 2 Hours Endurance akan membuat satu pusingan mengelilingi litar bersama-sama tetamu kehormat.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #Braaap2HoursEndurance #SIC #BraaapMotorsport #BudakKimia

Sumber Gambar: Braaap Motorsport