fariszolkefli

JOHOR RAJA LIBAS BAHARU PIALA EMAS KHIR JOHARI

JOHOR RAJA LIBAS BAHARU PIALA EMAS KHIR JOHARI

December 14, 2022 7:49 am

KUALA LUMPUR, 14 DISEMBER – Piala Emas Khir Johari berjaya dibawa pulang ke selatan tanah air buat julung kalinya apabila skuad sepak takraw Johor menumpaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2-0 dalam saingan penentuan di Stadium Titiwangsa, Ahad lalu.

Skuad kendalian Ahmad Jais Baharun ini mempamerkan aksi kemas bagi menguburkan impian ATM yang juga pilihan utama kejohanan untuk merangkul gelaran juara buat kali ke-13 Piala Emas Khir Johari edisi ke-56.

“Saya sangat gembira dengan kemenangan ini dan pemain memberikan yang terbaik meskipun turun selaku pasukan bukan pilihan kejohanan ini. Kita tahu ATM adalah pasukan terbaik. Sasaran awal kita adalah ke separuh akhir dan bila melangkah ke pentas final barisan pemain yang diberi amanah, menampilkan aksi cukup bertenaga untuk kita melakar kemenangan ke atas ATM,” katanya sejurut tamat perlawanan.

Johor mengaut hadiah wang tunai sebanyak RM30,000 dan ATM membawa pulang RM20,000 selaku naib juara kejohanan. Tiga pemain Johor, Hafizuddin Othman, Syazmi Syazwan Aziz dan Arif Badri juga membolot anugerah individu Tekong, Apit Kanan dan Apit Kiri Terbaik kejohanan manakala Jais dinobatkan Jurulatih Terbaik dengan masing-masing beroleh bonus sebanyak RM500.

Sementara itu, pasukan Kuala Lumpur mengakhiri saingan di tempat ketiga dan membawa pulang RM10,000 selepas menumpaskan pasukan Perak yang menamatkan saingan tempat keempat sekaligus membawa pulang RM5,000 beserta pingat.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #SepakTakraw #PialaEmasKhirJohari

Sumber Gambar: Persatuan Sepak Takraw Malaysia