fariszolkefli

HUJAN LEBAT MENJADI SAKSI KEUNGGULAN PASUKAN JRT TECH 2 304 RACING

HUJAN LEBAT MENJADI SAKSI KEUNGGULAN PASUKAN JRT TECH 2 304 RACING

December 15, 2022 3:30 am

SEPANG, 15 DISEMBER – Pelumba daripada JRT Tech 2 304 Racing, Fareez Afeez dan Syafiq Ezzariq dijulang sebagai juara dalam edisi kedua Budak Kimia BRAAAP 2 Hours Endurance (B2H) 2022, yang diadakan buat pertama kali sebagai perlumbaan ‘endurance’ malam di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Ahad lalu.

Berlangsung pada waktu malam dengan format ‘Le Mans start’ dalam litar yang basah, gandingan juara ini menamatkan 79 pusingan mengelilingi Litar Selatan SIC sepanjang 2.609 km dengan catatan masa keseluruhan 2 jam 3 minit dan 20 saat untuk mengatasi 46 pasukan yang lain. Menggunakan jentera Yamaha Y15 dan bersaing dalam kelas MP150 Elite, mereka meninggalkan pesaing terdekat iaitu Muhd Amirul Affiq dan Ahmad Syamil Akmal daripada ESTREMO Racing dua pusingan di belakang untuk menduduki tempat kedua. Manakala pasangan Mohamed Syafieq Aiman dan  Muhammad Adib yang juga daripada ESTREMO Racing mendapat tempat ketiga keseluruhan dengan menamatkan 78 pusingan perlumbaan.

Sementara itu, pelumba tumpuan yang juga merupakan pelumba sensasi negara, Hafizh Syahrin Abdullah yang bergandingan bersama Tengku Amirul dalam saingan kelas yang sama (MP150 Elite) tidak berjaya menamatkan perlumbaan kerana menghadapi masalah teknikal.

Menduduki tempat kelima keseluruhan, gandingan serasi Muhammad Kanafi Kamaruddin dan Mohd Farid Ahmad daripada 27 MK Racing PRC, mengungguli saingan kelas MP150. Bagi kelas SB150, ia dimenangi oleh gandingan Muhammad Syafiq Asyraf dan pelumba wanita, Siti Norafizah Muhamad daripada pasukan ESTREMO Race 4 Fun dengan berbekalkan jentera Yamaha FZ150i. 

Selain Siti Norafizah, edisi kali ini turut menampilkan seorang pelumba jemputan wanita dari Indonesia dan Taiwan. Ia turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran pelumba jemputan lelaki dari Singapura, Thailand, Taiwan dan Indonesia.

Selain perlumbaan sokongan yang diadakan pada tengah malam, acara turut dimeriahkan lagi dengan Tobaki Hotlaps, yang menyaksikan 150 penunggang daripada jentera pelbagai jenama dan jenis motosikal mengelilingi trek yang disokong oleh perhimpunan Serlahkan Kehebatan 13 (SK13).

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #B2HEndurance2022 #SIC #BraaapMotorsport #BudakKimia

Sumber Gambar: Braaap Motorsport