fariszolkefli

FLAG FOOTBALL MALAYSIA MENYASARKAN PENYERTAAN OLIMPIK 2028

FLAG FOOTBALL MALAYSIA MENYASARKAN PENYERTAAN OLIMPIK 2028

December 16, 2022 6:25 am

SUBANG JAYA, 16 DISEMBER – Majlis Bandaraya Subang Jaya, bersama-sama Third Down Sports (Third Down) dan Malaysia American Football Association (MAFA) berjaya menganjurkan program flag football yang disasarkan untuk golongan muda dengan penyertaan seramai 70 orang muda berusia dari empat hingga 17 tahun, pada Sabtu lalu.

Program yang dianjurkan buat kali kedua ini bertujuan memperkenalkan flag football kepada golongan muda dengan hasrat menanam minat mereka untuk menyertai Third Down’s Academy; dalam melahirkan atlet flag football berbakat yang mampu bersaing di peringkat tempatan mahupun antarabangsa, termasuk sasaran ke Olimpik 2028 di Los Angeles, California.

Flag football adalah permainan tanpa sentuh yang diinspirasikan daripada American football yang dimainkan di National Football League (NFL) yang mana ia tidak membabitkan sebarang tackle dan digantikan dengan menurunkan flag yang diikat di tali pinggang para pemain atau dikenali sebagai deflagging

Selain itu, flag football juga merupakan sukan jemputan dalam World Games 2022, dengan perbincangan sedang berlangsung bagi meletakkan sukan ini dalam Southeast Asian Games (Sukan SEA) yang akan datang.

MBSJ x Third Down Flag Football Youth Day yang bertempat di Arena MBSJ, dirasmikan oleh Dato’ Johary Anuar, Datuk Bandar Subang Jaya dengan balingan bola American football menggunakan mesin JUGS; sebuah mesin hantaran football. Ia diikuti dengan aktiviti panas badan secara berkumpulan, balingan dan tangkapan serta latihan flagging dan juga ketangkasan para pemain; yang mana semua aktiviti ini adalah aktiviti sebenar dalam sukan flag football. 

Menurut Daryll Nathanial, Pengarah Third Down Sports, sekarang adalah masa yang terbaik untuk golongan muda di negara ini didedahkan dengan sukan flag football kerana ia akan menambahkan lagi ruang untuk meletakkan Malaysia dalam peta sukan dunia.

“Dengan perkembangan pesat komuniti flag football di dalam negara dan juga Asia Tenggara pada ketika ini, kami ingin melahirkan kesedaran buat golongan muda dalam negara dan apabila sukan ini diletakkan dalam Olimpik 2028 di Los Angeles, California, kita yakin dapat menghantar pasukan yang kompetitif untuk mewakili negara,” tambah Daryll.

Pihak MBSJ, melalui Dato’ Johary, menzahirkan sokongan penuh untuk pembangunan flag football di Subang Jaya dengan memberikan lebih banyak peluang dan ruang bagi penganjuran program dan pertandingan flag football di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

Baru-baru ini, sebuah memorandum telah ditandatangani antara Third Down dan MAFA untuk sama-sama bekerjasama membantu pembangunan sukan dalam negara di peringkat akar umbi – MAFA yang ditubuhkan pada tahun 2017 adalah sebuah badan kawal selia untuk sukan flag football di Malaysia. 

Third Down dengan sokongan MAFA akan menganjurkan lebih banyak lagi program flag football untuk meningkatkan kesedaran terhadap sukan tersebut dan mempromosikan sukan ini kepada ibu bapa dan juga komuniti.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #FlagFootball #AmericanFootball

Sumber Gambar: Majlis Bandaraya Subang Jaya