fariszolkefli

KELAB TUNAS SEJATI B-14 JUARA PIALA BUDAK KAMPUNG 2022

KELAB TUNAS SEJATI B-14 JUARA PIALA BUDAK KAMPUNG 2022

December 20, 2022 8:24 am

KAJANG, 20 DISEMBER – Pasukan Bola Sepak Tunas Sejati bawah 14 tahun (B-14) muncul juara dalam Kejohanan Piala Budak Kampung yang berlangsung di Padang Arena Owl Trafford, Bandar Baru Bangi pada hujung minggu lalu.

Turut mencuri tumpuan dalam kejohanan kali ini adalah penyertaan pemain perempuan dalam skuad bola sepak lelaki. Sufiya Eryana Shuhairy (sayap kanan), Insyirah Sofea Shuhairy (penjaga gol) dan Azzahra Azhar (penyerang) masing-masing daripada Kelab Tunas Sejati yang bersaing dalam kategori B-12 menjadi tumpuan apabila menyertai Kejohanan Piala Budak Kampung pada kali ini.

Penganjuran kali ketiga ini melibatkan tiga jenis sukan seperti bola sepak (B-12, B14 dan B-17), sepak takraw (B-15 dan B-18) dan bola jaring (terbuka tiga lawan tiga) ini menerima sambutan menggalakkan apabila sebanyak 200 pasukan mengambil bahagian dengan 100 penyertaan daripada sukan bola sepak, 60 penyertaan daripada sepak takraw dan 40 penyertaan daripada bola jaring.

Piala Budak Kampung adalah sebuah inisiatif kerajaan negeri Selangor dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Selangor dalam meningkatkan pembangunan sukan di peringkat akar umbi, khususnya dari seluruh daerah Hulu Langat dan kawasan luar bandar. 

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #PialaBudakKampung2022 

Sumber Gambar: Kelab Tunas Sejati