Faris Zolkefli

MAJLIS OLIMPIK MALAYSIA MELULUSKAN TABUNG PENDIDIKAN ATLET MOM

MAJLIS OLIMPIK MALAYSIA MELULUSKAN TABUNG PENDIDIKAN ATLET MOM

December 21, 2022 7:52 am

KUALA LUMPUR, 21 DISEMBER – Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan mewujudkan Tabung Pendidikan Atlet MOM bagi membantu membiayai dan menampung kos pengajian atlet kebangsaan yang berkelayakan dan memenuhi kriteria.

Menurut Presiden MOM, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria, cadangan Lembaga Eksekutif MOM untuk mewujudkan Tabung Pendidikan Atlet MOM bermula pada tahun 2023 bagi menyediakan bantuan kewangan kepada atlet terpilih dalam memburu segulung ijazah yang bersidang pada 22 November lalu, telah diterima dan diluluskan oleh Mesyuarat Majlis Eksekutif MOM semalam.

Keputusan mewujudkan tabung berkenaan dianggap penting bagi menggantikan Tabung Pendidikan Atlet Tan Sri Alex Lee yang akan dikelolakan oleh keluarga mendiang.

Tan Sri Norza turut merekodkan setinggi-tinggi penghargaan kepada keluarga mendiang Tan Sri Alex atas segala kerjasama dalam pengurusan tabung berkenaan yang diwujudkan pada November 1999 bagi mengenang jasa mantan Naib Presiden MOM tersebut.

MOM telah berjaya mengumpul sejumlah RM 1,104,379.20 hasil daripada penganjuran Kejohanan Golf Amal Tan Sri Alex Lee mulai tahun 2003 hingga 2019. Ketika ini, jumlah dana dalam tabung berkenaan adalah RM 1,758,353.15.

Tabung berkenaan telah menawarkan biasiswa tahunan sejumlah RM 658,551.00 kepada 62 orang atlet kebangsaan (31 atlet lelaki dan 31 wanita) daripada 23 jenis sukan, mulai tahun 2000 hingga 2022. Antara penerima biasiswa ini termasuk pelumba basikal M. Kumaresan, jaguh Lumba Jalan Kaki G. Saravanan, jaguh Lompat Tinggi Loo Kum Zee, pemain Bola Tampar Pantai Beh Shun Ting, kapten pasukan Kriket Kebangsaan Faris Almas-Lee Rosmanizam serta atlet-atlet muda seperti pelari pecut sensasi Shereen Samson Vallabuoy, peluncur ais terkenal Julian Yee Zhi Jie dan jaguh sukan Terjun Chew Yiwei.

Sementara itu, Majlis Eksekutif MOM turut meluluskan cadangan mewujudkan Jawatankuasa MOM Malaysia Timur yang diketuai oleh Dr. Tan Kah Hock, mantan Pengerusi Lembaga Sukan Sabah (Sabah Sports Board); sejajar dengan usaha MOM untuk menyebarluaskan elemen dan nilai-nilai yang terangkum dalam Pergerakan Olimpik.

“Sambil menghidupkan semula aktiviti Pergerakan Olimpik di bawah naungan MOM di Malaysia Timur, saya percaya Jawatankuasa MOM Malaysia Timur ini boleh memupuk budaya bersukan di Sabah dan Sarawak, sejajar usaha meluaskan lagi kelompok masyarakat yang bersukan dan seterusnya mengenal-pasti atlet yang boleh digilap menyertai sukan prestasi tinggi,” katanya.

Tan Sri Norza turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan serta terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat Puan Hannah Yeoh, atas kesudian beliau meluangkan masa menghadiri dan seterusnya merasmikan Mesyuarat Majlis Eksekutif MOM.

“Kehadiran Yang Berhormat menggambarkan sokongan berterusan Kerajaan Persekutuan kepada MOM dan semua Persatuan Sukan Kebangsaan selaku Ahli Gabungan MOM yang merangkumi sebahagian besar pemegang taruh, ”Umbrella Body” kepada badan induk sukan serta Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan di Malaysia” katanya.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #MajlisOlimpikMalaysia #TabungPendidikanAtlet 

Sumber Gambar: Majlis Olimpik Malaysia