Faris Zolkefli

MENTERI & TIMBALAN MENTERI KBS CAKNA ISU BERKAITAN ATLET, BADAN SUKAN NEGARA

MENTERI & TIMBALAN MENTERI KBS CAKNA ISU BERKAITAN ATLET, BADAN SUKAN NEGARA

December 28, 2022 7:35 am

KUALA LUMPUR, 28 DISEMBER – Lebih 300 atlet dan 100 persatuan sukan berkongsi maklum balas mereka mengenai isu-isu berkaitan sukan melalui beberapa siri dialog awam bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli. Sesi dialog awam yang diadakan sebanyak empat kali secara tertutup ini bertujuan untuk membolehkan para peserta meluahkan pendapat mereka secara terbuka.

Semua sesi telah diadakan pada 18, 22 dan 23 Disember 2022. Seramai 140 atlet menghadiri sesi pada 18 Disember. Sesi pada 22 Disember, ia dihadiri seramai 180 atlet ketika sesi pagi, manakala sesi petang pula dihadiri oleh 91 badan sukan dan pada 23 Disember, dihadiri oleh 15 badan sukan yang mewakili atlet kurang upaya.

Para atlet yang hadir mewakili pelbagai jenis sukan termasuk olahraga, seni mempertahankan diri, bola sepak, renang dan gimnastik. Manakala bagi persatuan sukan pula, ia termasuk Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia, Persekutuan Taekwondo Antarabangsa Malaysia, Persatuan Sukan Terjun Malaysia dan Majlis Paralimpik Malaysia.

Antara isu yang berbangkit ketika sesi tersebut adalah kebajikan atlet; khususnya selepas bersara dan selepas kecederaan, akses kepada kemudahan latihan, peluang terhad untuk menyertai pertandingan kompetitif dan keperluan untuk penyelarasan yang lebih baik antara pelbagai kementerian.

Menteri dan Timbalan Menteri mengambil kira semua maklum balas dan akan mengadakan pertemuan dengan agensi berkaitan untuk meneliti kaedah terbaik bagi melaksanakan cadangan tersebut pada masa hadapan.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan 

Sumber Gambar: Facebook YB Hannah Yeoh