KUALA LUMPUR, 29 DISEMBER – Ketua jurulatih ragbi tujuh sebelah (7s) lelaki kebangsaan, Mohd Saizul Hafifi Md Noor mengumumkan perletakan jawatannya selepas lapan tahun mengendalikan skuad kebangsaan atau lebih dikenali sebagai Bunga Raya 7.
Kesatuan Ragbi Malaysia (MRU) menyatakan, perletakan jawatan itu akan berkuatkuasa selepas kontrak Saizul bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan MRU berakhir pada 31 Disember ini.
Keinginan untuk kembali menyambung kerjaya sebagai guru Matematik di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) Bandar Penawar, Johor serta menumpukan perhatian dan komitmen kepada keluarga menjadi antara sebab Saizul mengundurkan diri.
Pihak MRU turut menzahirkan penghargaan buat Saizul atas khidmat cemerlangnya sehingga berjaya membawa Bunga Raya 7 melakar sejarah dengan merangkul pingat emas pertama dalam kategori lelaki ragbi 7s di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan pingat perak di Sukan SEA Filipina 2019 serta beberapa lagi kejohanan antarabangsa.
Dalam pada itu, Saizul juga menyatakan bahawa beliau sentiasa membuka ruang untuk menawarkan khidmat sekiranya masih diperlukan pada masa akan datang.
MRU masih belum lagi memuktamadkan nama ketua jurulatih Bunga Raya 7 yang baharu dan senarai calon bagi mengisi kekosongan jawatan berkenaan akan diperhalusi oleh Pengarah Kejurulatihan MR bersama Pengarah Prestasi Tinggi MR tidak lama lagi.