Faris Zolkefli

ATLET CEMERLANG PERLIS TERIMA INSENTIF DARIPADA KERAJAAN NEGERI

ATLET CEMERLANG PERLIS TERIMA INSENTIF DARIPADA KERAJAAN NEGERI

December 30, 2022 6:29 am

KANGAR, 30 DISEMBER – Seramai 85 orang atlet negeri Perlis menerima insentif atas kejayaan cemerlang memperoleh pingat di dua temasya sukan dalam negara dan dua temasya antarabangsa daripada kerajaan Perlis, semalam.

Insentif berjumlah RM224,500 diberikan kepada atlet yang meraih pingat, jurulatih dan penyelaras sukan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 dan Para SUKMA 2022 yang berlangsung di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Terdahulu, kontinjen Perlis berjaya membawa pulang 23 pingat secara keseluruhan menerusi sukan olahraga, angkat berat, pencak silat, boling padang, kanu, sepak takraw, tinju, pelayaran dan muay Thai ketika SUKMA edisi ke-20 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada September lalu.

Bagi Para SUKMA 2022, 15 pingat berjaya diraih kontinjen Perlis menerusi tiga jenis sukan iaitu olahraga, angkat berat dan tenpin boling.

Dalam majlis yang sama, Datuk Abdul Latif Romly turut menerima insentif berjumlah RM3,000 atas kejayaan meraih pingat emas dalam acara lompat jauh F20 di temasya Sukan Para ASEAN ke-11 yang berlangsung di Solo, Indonesia. 

Selain itu, Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman, atlet boling padang yang berjaya memenangi pingat perak pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 menerusi sukan boling padang acara triples wanita turut menerima insentif sebanyak RM5,000 atas kejayaannya itu.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #Perlis #SUKMA2022 #ParaSUKMA2022

Sumber Gambar: Pejabat SUK Perlis