KBS LANCAR SOAL SELIDIK DALAM TALIAN MENGENAI EKOSISTEM E-SUKAN MALAYSIA
KBS LANCAR SOAL SELIDIK DALAM TALIAN MENGENAI EKOSISTEM E-SUKAN MALAYSIA
January 4, 2023 6:14 am
PUTRAJAYA, 4 JANUARI – Kementerian Belia dan Sukan (KBS), melalui inisiatif Esports Integrated (ESI) dan Institut Penyelidikan Belia Malaysia (IYRES) melancarkan soal selidik dalam talian ke seluruh negara untuk mengumpul maklumat dan pandangan tentang ekosistem e-sukan Malaysia, bertujuan membangunkan dasar dan strategi berkaitan e-sukan pada masa yang akan datang, serta sindikasi luaran kepada pemegang taruh e-sukan tempatan dan antarabangsa yang terlibat.
Soal selidik dalam talian di seluruh negara yang bermula sejak akhir Disember 2022 hingga Februari 2023 ini menyasarkan pengumpulan maklumat penting mengenai demografi, psikografi peminat e-sukan Malaysia, dan kesan kewangan terhadap mereka.
Soalan-soalan adalah terbahagi kepada tiga kategori utama iaitu: Pengetahuan Am, Persepsi dan Ekosistem. Soal selidik ini akan disusuli dengan pembentukan Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) yan terdiri daripada pakar e-sukan tempatan dan pihak berkepentingan pada Mac 2023 bagi tujuan perbincangan kumpulan fokus dalam memahami ekosistem pada tahap yang lebih mendalam dan teknikal.
Menurut YB Hannah Yeoh, kajian menyeluruh mengenai ekosistem e-sukan tempatan adalah penting untuk mendapatkan pemahaman dan maklumat kritikal yang tidak diketahui oleh ramai pihak. Berdasarkan pencapaian cemerlang pemain Malaysia mencapai kejayaan di peringkat serantau dan antarabangsa, langkah ini dilihat penting bagi mengukur potensi pertumbuhan pasaran Malaysia dan kesannya terhadap masa hadapan ekonomi dan pembangunan belia dan sukan di Malaysia.
Soal selidik dalam talian ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia, khususnya buat peminat e-sukan atau yang pernah bermain sebarang judul permainan e-sukan dan boleh diakses melalui pautan: https://bit.ly/esports-my