KEJOHANAN BADMINTON TERTUTUP JOHOR 2023 JADI PENTAS CUNGKIL BAKAT BAHARU
KEJOHANAN BADMINTON TERTUTUP JOHOR 2023 JADI PENTAS CUNGKIL BAKAT BAHARU
January 5, 2023 7:37 am
PONTIAN, 5 JANUARI – Seramai 600 orang atlet badminton muda akan bersaing dalam Kejohanan Badminton Tertutup Johor 2023 yang bermula pada hari ini hingga 8 Januari, bertempat di DBC Sport Arena, Pontian, Johor.
Kejohanan edisi ke-11 yang dianjurkan oleh Persatuan Badminton Johor ini menyaksikan persaingan dalam lima kategori iaitu bawah 21 (B21), B16, B14, B12, dan B10 dan menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM10,000 untuk direbut oleh peserta-peserta yang bersaing dalam edisi kali ini.
Menurut Presiden Persatuan Badminton Johor, Mat Rasid Jalil, Kejohanan Badminton Tertutup Johor 2023 ini hanya melibatkan peserta bawah 21 tahun dengan tujuan untuk memilih pemain berkebolehan bagi mewakili negeri Johor dalam peringkat kebangsaan dan juga mempersiapkan mereka untuk bersaing dalam Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan datang.
Dalam edisi lepas, Dania Sofea yang berjaya mencuri tumpuan dalam kategori wanita B-16 berhasrat ingin mengekalkan momentum kejayaannya dalam edisi kali ini dengan bersaing dalam kategori wanita B-18. Pemain berbakat yang juga baru sahaja mempamerkan aksi cemerlang dalam Kejohanan Junior Asia 2022 di Bangkok itu menyatakan bahawa kejohanan seperti ini adalah platform terbaik buat pemain muda sepertinya untuk bersaing secara kompetitif pada setiap tahun dan juga memburu peluang untuk mewakili negeri Johor dalam peringkat kebangsaan.
Sementara itu, pemain remaja elit yang sedang meningkat naik, Ariffin Nazri Mohd Zakaria berhasrat untuk menebus kekecewaan pada edisi lalu dengan mempertaruhkan dirinya dalam kategori lelaki B-21.
“Selepas memenangi kejohanan peringkat kebangsaan bagi kategori B-18 pada Ogos lalu, saya berazam untuk memperbaiki mutu permainan saya dalam setiap kejohanan yang saya sertai,” kata pemain berbakat itu yang baru sahaja bersaing dalam pusingan ke-64 (lelaki B-19) di Kejohanan Badminton Junior Dunia BWF 2022 yang bertempat di Sepanyol.
Kejohanan Badminton Tertutup Johor 2023 edisi ke-11 ini disokong oleh Majlis Sukan Negeri Johor, YOUNG-International dan DBC Sport Arena.