fariszolkefli

KERAJAAN NEGERI PERAK TUNGGU LAPORAN PENUH NAHAS LITAR DATO’ SAGOR

KERAJAAN NEGERI PERAK TUNGGU LAPORAN PENUH NAHAS LITAR DATO’ SAGOR

January 6, 2023 8:33 am

IPOH, 6 JANUARI – Kerajaan negeri Perak sedang menunggu laporan penuh daripada pihak berkaitan termasuk Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) dan Pesuruhjaya Sukan (PJS) berhubung insiden maut yang berlaku di Litar Dato’ Sagor, Kampung Gajah, Sabtu lepas.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad menyatakan, pihaknya mahu memastikan penganjur mempunyai kelulusan memandangkan sukan itu berisiko tinggi dan sepatutnya mempunyai prosedur operasi standard (SOP) keselamatan yang ketat.

Tambahnya lagi, jika pihak penganjur mempunyai kebenaran daripada PJS, antara perkara yang perlu dipatuhi bagi permohonan acara sukan itu adalah maklumat penganjur mestilah datang daripada badan yang sah atau berdaftar, serta mempunyai pengesahan sokongan daripada badan pengelola sukan.

Beliau juga menegaskan bahawa mana-mana individu yang tidak berkenaan seperti juruteknik dan pengawal bertugas tidak boleh berada dalam kawasan yang berpotensi kemalangan seperti trek perlumbaan kerana ia berisiko dan boleh menyebabkan berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini.

Terdahulu, pada kira-kira 3:30 petang, 31 Disember lepas, Muhammad Amir Mohd Yusof, 32, maut selepas dirempuh sebuah kereta ketika menyaksikan pertandingan CCT Battle of Champion di Litar Dato’ Sagor, Kampung Gajah.

Kejadian dipercayai berpunca daripada dua buah kereta yang hilang kawalan selepas bergesel sesama sendiri sebelum salah sebuah kereta terbabit terbabas ke kanan litar lalu melanggar seorang penonton yang berada dalam jarak sembilan meter dari laluan litar.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan 

Sumber Gambar: BERNAMA