Faris Zolkefli

ARIFFIN NAZRI DAN DANIA SOFEA TAWAN KEJUARAAN BADMINTON TERTUTUP JOHOR 2023

ARIFFIN NAZRI DAN DANIA SOFEA TAWAN KEJUARAAN BADMINTON TERTUTUP JOHOR 2023

January 9, 2023 7:54 am

PONTIAN, 9 JANUARI – Ariffin Nazri dan Dania Sofea menepati ramalan apabila berjaya merangkul gelaran juara dalam Kejohanan Badminton Tertutup Johor 2023 yang berlangsung di DBC Sport Arena, semalam.

Dalam saingan penentuan, Ariffin menerima tentangan sengit daripada rakan seperjuangan, Wee Yee Tern sebelum berhasil menundukkan Yee Tern dengan 21-19. Di set kedua, Yee Tern mencuba nasib untuk mengheret perlawanan ke set penentuan, namun Ariffin dapat mengekalkan momentum permainannya dan memberikan aksi bertenaga untuk mengatasi Yee Tern dengan 21-17 bagi menebus kehampaan edisi lepas yang menyaksikan gelaran juara menjadi milik abangnya.

“Saya berbangga dengan kemenangan saya hari ini. Bukan mudah untuk mara ke peringkat akhir. Pertarungan yang sukar diberikan oleh Yee Tern,” ujar pemain muda yang baru sahaja mengambil bahagian dalam Kejohanan Remaja Dunia BWF 2022 di Sepanyol, Oktober tahun lalu.

Sementara itu, perseorangan remaja wanita Johor, Dania Sofea Zaidi membuktikan statusnya selaku pemain harapan kem badminton Johor apabila berjaya mempertahankan gelaran juara edisi lepas dengan menundukkan Lai Eyun 21-7, 21-10 dalam pertarungan selama 22 minit.

Menurut Dania, beliau mahu menjadikan tahun 2023 sebagai tahun terbaik buatnya untuk mempersiapkan diri sebelum bergelar pemain utama buat negeri Johor.

Selain daripada itu, acara beregu lelaki bawah 21 tahun menyaksikan pasangan adik beradik Ariffin-Ashraf berjaya membawa pulang pingat kejuaraan dengan menewaskan Wee Yee Hern-Wee Yee Tern, 21-15, 21-19 yang turut disaksikan oleh YB Mohd Hairi bin Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor.

Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan), YB Dato’ Haji On’ Jabbar dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor, Encik Nor Syazlan Abdul Razak serta Presiden Persatuan Badminton Johor, Encik Mat Rashid Jahlil.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #Badminton #KejohananBadmintonTertutupJohor2023

Sumber Gambar: Persatuan Badminton Johor