SILAT PREMIER ANTARABANGSA SARAWAK 2023 JADI MEDAN PERTEMPURAN PESILAT ANTARABANGSA
SILAT PREMIER ANTARABANGSA SARAWAK 2023 JADI MEDAN PERTEMPURAN PESILAT ANTARABANGSA
January 10, 2023 6:28 am
KUCHING, 10 JANUARI – Seramai hampir 800 orang pesilat dari 16 buah negara bakal menghangatkan edisi sulung Kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak 2023 yang dijadualkan berlangsung pada 27 Februari hingga 5 Mac depan, bertempat di Stadium Tertutup Kuching, Sarawak.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg, Sarawak telah bersedia untuk menganjurkan acara silat berkelas dunia ini selain menerima kehadiran ribuan pencinta silat dunia bagi menyaksikan aksi penuh tenaga tersebut. Penyertaan negara-negara seperti Indonesia, Singapura, Brunei, Kyrgyzstan, India, Uzbekistan, dan United Kingdom semestinya bakal menyemarakkan lagi kehangatan kejohanan edisi sulung ini.
Rumpun Silat Sarawak (RSS), yang bertindak sebagai penganjur kejohanan ini menyifatkan ia bakal menjadi penanda aras dan perintis untuk RSS menganjurkan kejohanan siri silat Sarawak secara tahunan di masa akan datang. Pihak RSS juga komited untuk memastikan perjalanan kejohanan ini berlangsung dengan baik.
Kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak 2023 menawarkan hadiah wang tunai berjumlah USD20,000 bagi juara keseluruhan dan buat julung kalinya, tali pinggang kejuaraan diperkenalkan untuk disandang juara keseluruhan.
Bagi menambahkan lagi kemeriahan kejohanan, pelbagai program menarik akan disajikan bagi menghangatkan lagi penganjuran seperti acara Larian Pendekar, Pesta Makanan, dan Festival Kebudayaan anjuran Majlis Seni Sarawak.