KUALA LUMPUR, 11 JANUARI – Menjelang aksi pembukaan kempen Piala Dunia 2023 di Bhubaneswar-Rourkela, India Sabtu ini, skuad Malaysian Tigers akan menguji taringnya dalam satu perlawanan persahabatan berdepan Sepanyol hari ini dengan misi menyesuaikan corak permainan berintensiti tinggi menentang pasukan berkelas dunia.
Ketua Jurulatih, Arul Selvaraj turut sahkan anak buahnya tidak berdepan masalah untuk menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca dan persekitaran di sana malahan berada dalam motivasi cukup baik.
“Apa yang penting seperti yang saya jelaskan sebelum ini bahawa pasukan akan mengambil satu perlawanan ke satu perlawanan dalam kejohanan ini,” jelas beliau.
Sementara itu, kapten skuad negara, Muhammad Marhan Mohd Jalil akui aksi pemanas badan menentang pasukan di ranking kelapan dunia itu bakal menjadi platform terbaik bagi rakan sepasukannya untuk memperbaiki kelemahan yang ada.
Stadium Hoki Birsa Munda, Rourkela bakal menjadi venue buat Malaysia yang menduduki ranking ke-11 dunia turun beraksi dalam Kumpulan C bertemu Belanda sebelum menentang Chile (16 Januari) diikuti New Zealand di Stadium Hoki Kalinga, Bhubaneswar pada 19 Januari.
Hanya juara kumpulan akan mara ke suku akhir mengikut format kejohanan manakala pasukan di tempat kedua dan ketiga akan bertemu lawan daripada Kumpulan D (England, India, Sepanyol, Wales) pada pusingan kalah mati untuk merebut tiket ke suku akhir.
Untuk rekod, edisi kali ini merupakan penampilan kesembilan skuad hoki negara dalam Piala Dunia sejak temasya itu mula diperkenalkan pada 1971 yang mana pencapaian terbaik buat Malaysia adalah pada tahun 1975 sewaktu bergelar tuan rumah.