MSDEAF JALANKAN ‘POST-MORTEM’ KE ATAS TIGA TEMASYA SUKAN 2022
MSDEAF JALANKAN ‘POST-MORTEM’ KE ATAS TIGA TEMASYA SUKAN 2022
January 16, 2023 8:35 am
KUALA LUMPUR, 16 JANUARI – Berdasarkan maklum balas daripada mereka yang terlibat secara langsung dalam penganjuran sukan pekak di Malaysia, satu ‘post-mortem’ oleh Malaysian Deaf Sports Association (MSDeaf) telah berjaya dijalankan bertempat di IYC, Cheras pada 13 Januari lalu.
Post mortem ini adalah bertujuan untuk merungkai dan mengenalpasti kelebihan dan kelemahan yang timbul sewaktu penganjuran sukan pekak antarabangsa di Malaysia pada tahun 2022.
Tahun lalu, tiga program sukan antarabangsa telah berjaya diadakan di Malaysia iaitu Deaflympic Games Tenpin Bowling Competition ke-24, SEA Deaf Games ke-1 dan DIFA World Deaf Futsal Championship U21 Cup ke-1.
Ketika penganjuran SEA Deaf Games ke-1, kontinjen negara berhasil membawa pulang 49 pingat (15 emas, 22 perak dan 12 gangsa) sekaligus dinobatkan sebagai juara keseluruhan kejohanan. Deaflympic Games Tenpin Bowling Competition ke-24, kontinjen negara meraih 3 pingat (2 perak dan 1 gangsa) melalui kategori trio lelaki dan berpasukan Lelaki. Manakala, DIFA World Deaf Futsal Championship U21 Cup ke-1 menyaksikan kejayaan skuad lelaki pekak kebangsaan meraih tempat ketiga, sementara kategori wanita pula berjaya menjadi naib juara kejohanan.
MSDeaf telah mengambil maklum semua perkara-perkara yang telah dibentang dan dibincangkan dalam mesyuarat tersebut. Semua kelemahan-kelemahan yang timbul telah dikenal pasti dan amat berguna untuk penganjuran program yang antarabangsa yang akan datang.