fariszolkefli

INDUSTRI SUKAN AKAN MATI JIKA KITA TIDAK BUAT SESUATU YANG KRITIKAL – YB HANNAH YEOH

INDUSTRI SUKAN AKAN MATI JIKA KITA TIDAK BUAT SESUATU YANG KRITIKAL – YB HANNAH YEOH

January 31, 2023 8:05 am

PUTRAJAYA, 31 JANUARI – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengadakan perbincangan bersama Kementerian Kewangan (MOF) berkaitan isu insentif cukai penganjuran dalam masa terdekat, sebelum pembentangan bajet dilakukan.

“Setiap tahun KBS akan minta pada MOF untuk bagi lebih banyak insentif cukai untuk penganjuran sukan tetapi selalunya tidak dapat. Jadi, kali ini saya ingin berbincang bersama MOF kerana bila bajet semakin berkurangan dan kita tidak bagi insentif cukai yang membebaskan penganjur untuk dapatkan tajaan mereka sendiri dan tiada galakan, industri sukan akan mati kalau kita tidak buat sesuatu yang kritikal,” kata YB Hannah Yeoh ketika ditemui pemberita selepas sesi ‘town hall’ bersama Industri Sukan, hari ini.

YB Hannah turut menitikberatkan beberapa isu utama iaitu isu berkaitan permit penganjuran sukan, insentif cukai penganjuran sukan, skim insurans yang lebih murah terutamanya untuk sukan yang berisiko tinggi, dan yuran lesen yang dilihat seperti menghukum para penganjur sukan sekali gus mengekang promosi gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat.

Sementara itu, pihak KBS juga akan menjalinkan kerjasama khas bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Selain itu, KBS juga akan memastikan setiap data yang diambil berkaitan sukan dimanfaatkan sepenuhnya untuk pembangunan industri sukan negara dan akan mengadakan sesi terbuka setiap bulan bersama pemain industri untuk mengenal pasti isu-isu berbangkit berkaitan sukan.

Sesi ‘town hall’ kelima itu dihadiri seramai 297 orang penggiat, penganjur dan badan berkaitan sukan, yang mana melebihi jangkaan awal kehadiran para peserta iaitu 200 orang dan ini menjadikan penanda positif yang ditunjukkan oleh penggiat sukan dalam memastikan permasalahan berkaitan sukan dapat dibendung.

Turut hadir dalam sesi ‘town hall’ tersebut adalah wakil daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Timbalan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, YB Khairul Firdaus Akbar Khan.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan 

Sumber Gambar: KBS Malaysia