SKUAD MTB SASAR PERTAHAN EMAS, BAWA PULANG DUA GANGSA DI KEMBOJA 2023
SKUAD MTB SASAR PERTAHAN EMAS, BAWA PULANG DUA GANGSA DI KEMBOJA 2023
February 1, 2023 4:05 am
KUALA LUMPUR, 1 FEBRUARI – Walaupun berhasil mencipta kejutan dalam Sukan SEA di Hanoi, Vietnam yang lalu, skuad berbasikal MTB kebangsaan kekal merendah diri apabila menyasarkan satu pingat emas untuk Sukan SEA Kemboja 2023 yang akan berlangsung di Phnom Penh, Mei depan.
Menurut pengurus pasukan, Mohd Saiful Abdul Jalil, fokus mereka adalah mahu mengekalkan dominasi dalam acara berganti-ganti rentas desa campuran sekali gus mempertahankan emas yang dimenangi di Hanoi, Vietnam.
Tambahnya lagi, skuad MTB kebangsaan juga mengintai peluang untuk membawa pulang dua gangsa dengan satu daripadanya disasar dalam acara baharu yang bakal dipertandingkan.
“Bagi skuad MTB kita nak kekalkan satu emas dalam acara berganti-ganti dan dua gangsa dalam acara rentas desa lelaki ataupun wanita. Di Kemboja ada satu acara tambahan iaitu eliminator. Kita rancang untuk hantar enam atlet dalam acara itu dan cuba untuk dapatkan satu gangsa,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Prapemilihan Temasya Sukan SEA ke-32 Kemboja di Wisma OCM.
Skuad MTB kebangsaan juga mempunyai perancangan untuk menjalani latihan di Vietnam pada Mac ini sebagai persediaan menghadapi cabaran di Kemboja.
Setakat ini, kita bercadang untuk menghantar atlet menyertai kejohanan di Turkiye bulan ini dan Piala Thai pada Mac yang akan datang.
Walaubagaimanapun, skuad negara masih menunggu kelulusan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) berhubung kebenaran menyertai kejohanan di Turkiye.