fariszolkefli

ATLET BERKAIT KES DOPING CABAR KEPUTUSAN SAMPEL A – ADAMAS

ATLET BERKAIT KES DOPING CABAR KEPUTUSAN SAMPEL A – ADAMAS

February 3, 2023 4:23 am

KUALA LUMPUR, 3 FEBRUARI – Pengarah Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS), Azura Abdin memaklumkan bahawa dua atlet angkat berat Terengganu yang didapati positif bahan terlarang jenis ‘anabolic androgenic steroid’ pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 yang lalu memohon untuk membuka sampel B di makmal di Qatar pada Isnin depan.

Azura juga meminta kedua-dua atlet yang juga pemenang pingat dalam temasya SUKMA itu memohon wakil makmal untuk menjadi saksi mereka.

“Mungkin ambil masa sedikit untuk kita mengetahui keputusannya tetapi kebiasaan dalam tempoh dua minggu. Pihak makmal akan memuat naik keputusan dalam sistem dan berdasarkan keputusan itu nanti, ADAMAS akan membuat tindakan lanjut termasuklah memaklumkan kepada atlet dan persatuan.

“Dalam hal ini, segala kos bagi membuka sampel B ini ditanggung sepenuhnya oleh kedua-dua atlet berkenaan,” katanya.

Pada 28 Disember tahun lalu, Azura mengesahkan dua atlet angkat berat dari Terengganu yang memenangi pingat di SUKMA 2022 didapati positif bahan terlarang jenis ‘anabolic androgenic steroid’ dan boleh dikenakan hukuman maksimum penggantungan selama empat tahun.

Sementara itu, Azura juga turut mengesahkan bahawa dua daripada tiga atlet yang disabitkan dengan doping sudah mengaku bersalah.

“Seorang atlet dari Terengganu dan Perlis sudah mengaku bersalah. Untuk yang dari Terengganu itu kami akan terus kepada keputusan atau hukuman kerana dia sudah mengaku bersalah manakala atlet dari Perlis pula kami masih lagi berbincang dengan WADA (Agensi Anti Doping Dunia) kerana ia membabitkan atlet bawah umur.

“Bagi seorang lagi atlet Terengganu, kami akan mengeluarkan surat pertuduhan kepada dia kerana sehingga sekarang masih belum memberi sebarang reaksi. Kami pun sudah memberi tempoh masa yang lama kepada dia untuk membuat keputusan sama ada mahu buka sampel B atau terus kepada sesi pendengaran,” katanya.

Ketiga-tiga atlet terbabit didapati positif bahan terlarang jenis Metandienone, Tebutaline dan Oxymetholone.

Susulan kontroversi yang dicetuskan ketiga-tiga atlet terbabit, sukan angkat berat hampir tidak dipertandingkan pada SUKMA 2022 selepas Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) bertindak menarik diri daripada mengendalikan temasya berkenaan.

Bagaimanapun, sekretariat SUKMA 2022 di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) memutuskan untuk tetap mempertandingkan sukan angkat berat biarpun tanpa penglibatan PABM yang menyaksikan semua rekod yang dicipta di temasya berkenaan tidak diiktiraf.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #Doping #ADAMAS

Kredit: Berita Harian

Sumber Gambar: Berita Harian