YB HANNAH TURUN PADANG LAWAT ATLET, FASILITI SUKAN DI NEGERI SABAH
YB HANNAH TURUN PADANG LAWAT ATLET, FASILITI SUKAN DI NEGERI SABAH
February 7, 2023 2:51 am
SABAH, 7 FEBRUARI – Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh telah melakukan lawatan kerja satu hari ke negeri Sabah, semalam.
Dalam lawatan kerja berkenaan, beliau telah mengadakan kunjungan hormat ke atas YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, Ketua Menteri Sabah bagi membincangkan cadangan konsep baharu Sukan Malaysia (SUKMA) serta pembangunan sukan di negeri Sabah, memandangkan negeri ini mempunyai banyak potensi dalam membangunkan sukan di Malaysia.
Selain itu, YB Hannah turut mengadakan beberapa lawatan di sekitar Kota Kinabalu dengan melawat Darau Sedi Belud Traditional Archery Club untuk melihat infrastruktur sukan tradisi memanah di Kampung Darau, Menggatal. Seterusnya ke Stadium Ragbi Likas bagi memantau projek yang terbengkalai agar ia dapat diteruskan dengan kadar segera dan juga melawat Stadium Likas, Kompleks Sukan Kota Kinabalu bagi melihat sendiri keadaan fasiliti sedia ada.
YB Hannah juga mengambil peluang untuk bertemu atlet-atlet renang Penampang Preppies Club di Kompleks Sukan Penampang yang menjadi pusat latihan dan pembangunan kepada 120 orang perenang di Sabah berumur lingkungan 6 hingga 18 tahun. Seterusnya, beliau telah mengadakan pertemuan bersama pemain-pemain ragbi wanita pasukan Sabah B-17 di Sekolah Menengah Kebangsaan St. Michael, Penampang. Lawatan ini bertujuan untuk melihat sendiri kegigihan para atlet menjalani latihan dan memberi sokongan moral kepada mereka untuk terus berusaha demi kejayaan sukan ragbi Sabah.
Pengisian lawatan YB Hannah turut disusuli dengan lawatan ke Layang-Layang Flying Academy bagi mendengar taklimat potensi industri sports aviation dan penglibatan belia wanita dalam sektor penerbangan. Lawatan diakhiri dengan menyantuni petugas-petugas di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sabah.
Lawatan kerja ke kali ini merupakan salah satu usaha YB Hannah untuk hadir lebih kerap ke Sabah dan Sarawak bagi melihat sendiri infrastruktur dan perkembangan pembangunan sukan di sini dan bersedia dalam menyediakan intervensi yang diperlukan oleh Kerajaan Persekutuan. Negeri Sabah merupakan negeri keempat yang dilawat Menteri Belia dan Sukan selepas lawatan kerja ke Negeri Johor, Sarawak dan Kelantan baru-baru ini.