fariszolkefli

MUAT NAIK KOMEN KONTROVERSI: PEMAIN HOKI NEGARA DIGANTUNG KHM

MUAT NAIK KOMEN KONTROVERSI: PEMAIN HOKI NEGARA DIGANTUNG KHM

February 9, 2023 6:35 am

KUALA LUMPUR, 9 FEBRUARI – Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) mengambil keputusan untuk menggantung pemain hoki wanita negara, Hanis Nadiah Onn daripada mewakili negara dalam kejohanan antarabangsa susulan komen kontroversi yang dikeluarkan olehnya ketika konsert AR Rahman baru-baru ini.

Melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS), keputusan itu dicapai ketika mesyuarat Jawatankuasa Siasatan Majlis Sukan Negara (MSN) dan KHM pada 7 Februari yang dipengerusikan secara bersama oleh Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Presiden KHM, Dato’ Sri Subahan Kamal.

Hanis juga dipanggil untuk sesi temubual bagi membantu siasatan dan menegaskan tidak mempunyai sebarang niat untuk membangkitkan sentimen perkauman semasa menghantar komen yang beliau anggap sebagai jenaka. Namun begitu, komen itu telah dipadam pada pagi 29 Januari 2023 selepas mendapat teguran daripada warganet dan Hanis membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi laman media sosialnya ekoran kekhilafan itu.

Jurulatih skuad hoki wanita negara, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim turut dipanggil dan menyatakan bahawa Hanis memiliki perwatakan merendah diri serta berdisiplin tinggi sepanjang latihan dan kejohanan. Hanis juga memiliki ramai rakan-rakan hoki dalam kalangan bangsa India dan mereka bergaul rapat tanpa sebarang masalah ekoran sifatnya yang mudah mesra dengan rakan sepasukan.

Hasil daripada sesi temubual dan setelah memperhalusi beberapa dapatan lain berhubung isu berkenaan, Jawatankuasa Siasatan telah merumuskan bahawa Hanis telah memuatnaik komen yang berbaur perkauman kerana komen itu ditujukan kepada konsert yang dihadiri oleh majoriti kaum India.

Lantaran itu, Hanis didapati bersalah kerana menghantar komen yang boleh disalah erti atau menimbulkan salah faham, kegusaran ataupun kemarahan sesuatu pihak lain. Sebagai pemain hoki negara, Hanis juga didapati bersalah kerana telah membuat komen yang mengakibatkan kerosakan kepada imej pasukan dan KHM yang jelas melanggar kod etika KHM.

Jawatankuasa Siasatan seterusnya memutuskan agar KHM tidak mempertimbangkan Hanis daripada mewakili pasukan hoki kebangsaan ke mana-mana tugasan antarabangsa termasuk temasya Sukan SEA Cambodia 2023. Walaubagaimanapun, keputusan ini akan dinilai semula sekiranya Hanis mempamerkan perubahan sikap yang positif sepanjang tempoh tersebut.

Jawatankuasa berharap tindakan itu akan menjadi ingatan dan pengajaran berguna kepada Hanis serta semua atlet negara untuk sentiasa berhati-hati dengan sebarang hantaran ataupun ciapan di semua platform media sosial.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan 

Sumber Gambar: Bernama