RUMPUN SILAT SARAWAK KOMITED DALAM MEMARTABATKAN SUKAN PENCAK SILAT
RUMPUN SILAT SARAWAK KOMITED DALAM MEMARTABATKAN SUKAN PENCAK SILAT
February 10, 2023 6:27 am
KUCHING, 10 FEBRUARI – Negeri Sarawak bakal melakar satu lagi sejarah tersendiri dengan menganjurkan pertandingan silat antarabangsa iaitu Kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak 2023 yang akan membuka tirainya pada 27 Februari depan, bertempat di Stadium Tertutup Kuching.
Kejuaraan edisi sulung yang dianjurkan oleh Rumpun Silat Sarawak (RSS) itu membuktikan bahawa RSS benar-benar komited mahu mengangkat martabat pencak silat seiring dengan kerancakan aktiviti silat bawah seliaan RSS bagi melahirkan lebih ramai pesilat di Malaysia.
Menurut Timbalan Presiden RSS, Dato’ Mohamad Yusnar Haji Matalie, amat mustahak untuk memelihara dan memartabat pencak silat bagi memastikan ia tidak pupus ditelan arus zaman.
“Kami di RSS akan sentiasa memberi sepenuh hati dan komitmen dalam memelihara serta mempromosi pencak silat di bumi Sarawak. Ia adalah satu manifestasi kepada keunikan seni budaya yang telah bertahan sehingga kini dan adalah menjadi satu kewajipan serta tanggungjawab untuk kita menjaga warisan peninggalan nenek moyang kita bukan sahaja di Malaysia malah di Sarawak.
“RSS memasang impian agar kejuaraan edisi sulung ini dapat berlangsung dengan jayanya. Malah, kami mempunyai perancangan untuk menjadikan kejuaraan ini sebagai sebahagian daripada kalendar antarabangsa sukan silat iaitu kami berhasrat untuk menganjurkan Kejuaraan Silat Siri Sarawak pada tahun akan datang,” katanya.
Bagi menambah lagi kemeriahan, pelbagai program menarik akan dianjurkan ketika kejuaraan itu berlangsung seperti acara Larian Pendekar, Pesta Makanan, Festival Kebudayaan anjuran Majlis Seni Sarawak.
Kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak 2023 menawarkan hadiah wang tunai berjumlah USD20,000 bagi juara keseluruhan serta buat kali pertama tali pinggang kejuaraan diperkenalkan bagi juara keseluruhan dengan menyaksikan negara-negara seperti Indonesia, Singapura, Kyrgyzstan dan Amerika Syarikat bakal menghangatkan saingan berkenaan.