fariszolkefli

SOH WAI CHING CIPTA HATRIK DI DUBAI

SOH WAI CHING CIPTA HATRIK DI DUBAI

February 13, 2023 4:03 am

DUBAI, 13 FEBRUARI – Pelari menara negara yang juga pemegang ranking nombor satu dunia, Soh Wai Ching, sekali lagi membuktikan keunggulannya di persada dunia apabila berjaya menaiki podium kejuaraan di M1 Run 1.2km Incline Run Up 2023 Edisi ke-9 bertempat di Media One Hotel, Dubai.

Lebih manis, beliau berhasil memecahkan rekod peribadinya dengan mencatat 6:38 min berbanding 7:00 min pada tahun lepas. Kejayaan ini juga adalah kejayaan hatrik yang diperoleh beliau semenjak tahun 2021 di mana beliau berjaya mengekalkan kemenangannya untuk kali ke-3 berturut-turut di tempat yang sama.

Larian pada edisi kali ini dianggap sebagai satu cabaran yang agar sukar apabila Wai Ching diasak hebat oleh Abebe Yusof dari Ethiopia dan Paul Kaganjo dari Kenya. Namun begitu, selepas mendaki hingga ke tingkat ke-7, Wai Ching berhasil menjarakkan diri daripada pesaingnya dan menawan 35 tingkat Media One Hotel meninggalkan Abebe Yusof 0:12 saat di belakangnya.

Sementara itu, pelari menara wanita negara, Chan Yee Chin, berjaya merekodkan 11:48 min untuk meraih tempat kelima dalam kategori wanita. Beliau yang diletakkan di kelompok kedua bersama-sama pelari wanita nombor satu dunia, Kamila Chomanicova berhasil menepati sasaran peribadinya untuk menamatkan larian di bawah 12:00 min.

Selepas ini, Soh Wai Ching akan berada di Amerika Syarikat pada 26 Februari untuk bersaing dalam US Towerrunning National Championship bertempat di The Strat Tower, Las Vegas, Amerika Syarikat.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #Towerrunning #MasTowerRunner #M1Run

Sumber Gambar: Soh Wai Ching