haziq

11 PINGAT SASARAN PSM DI KEMBOJA

11 PINGAT SASARAN PSM DI KEMBOJA

February 16, 2023 4:12 am

KUALA LUMPUR, 16 FEBRUARI – Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan semalam mengumumkan sasaran dua pingat emas, empat perak dan lima gangsa buat  skuad sepak takraw dan chinlone negara di temasya Sukan SEA Kemboja 2023 bermula 5-17 Mei ini.

Malaysia akan mengambil bahagian dalam acara regu, regu berpasukan dan beregu lelaki, serta acara beregu berpasukan dan quadrant wanita bagi sepak takraw manakala kategori chinlone menerusi dua acara lelaki, wanita dan campuran.

PSM akan memuktamadkan senarai akhir pemain ke Phnom Penh menerusi sesi pemilihan selama tiga hari bermula 24 Februari ini yang diketuai oleh ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan, Ahmad Jais Baharum yang baru sahaja dilantik dengan harapan dapat memantapkan barisan pemain.

Skuad negara terdiri daripada 12 pemain sepak takraw dan enam pemain chinlone lelaki, manakala bagi acara wanita, sembilan pemain yang dipilih untuk sepak takraw akan turut sertai acara chinlone.

“Kita perlu hadapi cabaran besar kerana kita ingin lihat bagaimana perubahan prestasi skuad negara, terutamanya di Sukan SEA Kemboja (selepas konflik dalaman PSM). Saya harapkan struktur kejurulatihan baharu akan memberikan wajah dan nafas baru kepada skuad kebangsaan, serta harapan baru kepada peminat dan penggiat sepak takraw tanah air.

“Saya telah maklumkan kepada pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Datuk Abdul Halim Suleiman dan Ahmad Jais yang kali ini kita kena tunjukkan bahawa PSM ke arah untuk mencapai prestasi yang membanggakan,” jelas  Mohd Sumali.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #SepakTakraw #PSM #SukanSEA2023

Sumber Gambar: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM)