haziq

SARAWAK SAH TUAN RUMAH SUKMA 2024

SARAWAK SAH TUAN RUMAH SUKMA 2024

February 20, 2023 4:02 am

KUALA LUMPUR, 20 FEBRUARI – Teka-teki siapakah tuan rumah temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2024 akhirnya terjawab selepas Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengesahkan negeri itu terpilih sebagai penganjur.

Menurut beliau, keputusan itu diputuskan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh dalam satu mesyuarat mengenai penganjurannya baru-baru ini, dan Sarawak sememangnya sudah bersedia menjadi tuan rumah penganjurannya pada bila-bila masa.

“Kerajaan pusat telah meminta Sarawak menjadi tuan rumah Sukma 2024… Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah (Menteri Belia dan Sukan Sarawak) mewakili Sarawak (dalam mesyuarat itu),” jelas beliau di Majlis Penutupan Sukan Antara Yayasan Negeri Se-Malaysia (Pesaya) Kali Ke-14 Sarawak 2023, malam tadi.

Terdahulu, Abang Johari telah mengeluarkan kenyataan pada  9 Februari lepas menyatakan negeri Sarawak bersedia menggalas tanggungjawab untuk sebagai tuan rumah temasya sukan dwi tahunan itu namun meminta agar Kerajaan Persekutuan memaklumkan perkara berkenaan lebih awal, bagi memudahkan pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf kemudahan dan infrastruktur sukan sedia ada.

Dalam perkembangan lain, Yayasan Sarawak dinobatkan sebagai juara keseluruhan Pesaya ke-14 dengan memperoleh 12 pingat emas, 9 pingat perak dan 3 pingat gangsa sekali gus menyumbangkan sejumlah 95 mata.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #Sukma2024 #DemiMalaysia

Sumber : Bernama 

Sumber Gambar: Sarawak Edition SE